PENG Soon (kiri) dan Yee Seek bergelut sebelum menewaskan gandingan Chun Wai dan Chi Yan, sekali gus mara ke suku akhir Masters Kuala Lumpur, hari ini. FOTO BERNAMA
PENG Soon (kiri) dan Yee Seek bergelut sebelum menewaskan gandingan Chun Wai dan Chi Yan, sekali gus mara ke suku akhir Masters Kuala Lumpur, hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Cheah Yee See menempuh aksi mendebarkan sebelum mengesahkan slot ke suku akhir Kejohanan Badminton Masters Kuala Lumpur (KL) 2023 di Stadium Titiwangsa di sini, hari ini.

Walaupun turun sebagai pilihan utama, Peng Soon-Yee See dilihat bergelut bagi mengatasi gandingan bukan pilihan dari Hong Kong, Lui Chun Wai-Fu Chi Yan 28-26, 21-19 pada pusingan kedua.

"Agak sukar baca corak permainan lawan yang belum pernah ditentang sebelum ini," kata Peng Soon ketika ditemui selepas perlawanan.

Pada peringkat suku akhir, Peng Soon-Yee See dijadual membuat perhitungan dengan pilihan kelapan dari Taiwan, Wu Hsuan-Yi-Yang Chu Yun yang menyingkirkan pasangan Vietnam, Van Hai Pham-Van Anh Than, 21-14, 22-24, 21-4.

Sementara itu, pilihan keempat, Choong Hon Jian-Go Pei Kee turut mara ke suku akhir selepas menumpaskan pasangan Taiwan, Chen Cheng Kuan-Hsu Yin-Hui, 21-17, 21-12.

Pei Kee yang gembira dengan keputusan itu berharap agar mereka dapat meneruskan momentum dengan menewaskan lawan seterusnya, Tanupat Viriyangkura-Alisa Sapniti dari Thailand untuk meraih slot ke separuh akhir.

Tanupat-Alisa mara ke suku akhir selepas menang ke atas satu lagi pasangan negara, Juan Jeremy-Yap Ling, 21-16, 21-12.

Pei Kee berharap agar mereka dapat mendaki lapan anak tangga untuk menghuni kedudukan ke-60 terbaik dunia menjelang akhir tahun ini.

Dalam pada itu, pemain perseorangan wanita, Wong Ling Ching mengakui kecewa selepas ditunjukkan jalan keluar oleh wakil Taiwan, Lee Yu-Hsuan 13-21, 21-11, 13-21.

"Saya kalah sebab emosi saya macam set pertama, saya asyik terburu-buru mengejar mata….emosi terkawal pada set kedua dan set penentuan banyak melakukan kesilapan sebab hanya fokus untuk menang sahaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2023 @ 9:01 PM