WEI Chong dan Kai Wun atasi cabaran beregu Perancis.
WEI Chong dan Kai Wun atasi cabaran beregu Perancis.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun melepasi ujian pertama dalam penampilan sulung mereka di Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen selepas menang saingan pusingan pertama sebentar tadi.

Wei Chong-Kai Wun mengambil masa 42 minit untuk mencatat kemenangan straight set 21-17, 21-18 ketika berdepan gandingan Perancis, Lucas Corvee-Ronan Labar di Royal Arena.

Lebih menarik Wei Chong-Kai Wun yang layak ke kejohanan berkenaan pada saat akhir terus melonjak ke pusingan ketiga, selepas lawan mereka yang mendapat bye di pusingan pertama, Choi Sol Gyu-Kim Won Ho dari Korea Selatan menarik diri.

Di pusingan ketiga nanti mereka bakal berdepan dengan pemenang di antara satu lagi wakil Perancis, Christo Popov-Toma Junior Popov atau pilihan ketiga dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang.

Turut mara ialah beregu wanita, Anna Cheong-Teoh Mei Xing dan Vivian Hoo-Lim Chiew Sien, selepas kedua-dua pasangan berkenaan mengalahkan lawan masing-masing di pusingan pertama.

Anna-Mei Xing tidak berdepan masalah mengalahkan gandingan Amerika Syarikat, Annie Xu-Kerry Xu 21-14, 21-18 dan bakal berdepan pilihan kelapan dari Thailand, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai di pusingan kedua.

Vivian-Chiew Sien yang juga gandingan profesional, mudah menumpaskan wakil Sweden, Moa Sjoo-Tilda Sjoo 21-14, 21-12 dan akan menentang pilihan kelima dari Jepun, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota selepas ini.

Bagaimanapun, hasrat perseorangan wanita profesional negara, Goh Jin Wei untuk mengejutkan pilihan utama, An Se Young dari Korea Selatan tidak kesampaian selepas dia ditunjukkan jalan keluar apabila kalah 12-21, 14-21.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2023 @ 11:05 PM