ZII Jia masih lagi kemarau sebarang gelaran pada musim ini apabila sering tewas seawal pusingan pertama. FOTO ASWADI ALIAS
ZII Jia masih lagi kemarau sebarang gelaran pada musim ini apabila sering tewas seawal pusingan pertama. FOTO ASWADI ALIAS
Syazwan Msar


Shah Alam: Pemain perseorangan profesional negara Lee Zii Jia perlu lebih berhati-hati apabila prestasinya kurang konsisten sejak kebelakangan ini boleh menyebabkan dia 'ditendang' daripada projek Road to Gold (RTG) Olimpik Paris 2024.

Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan bahawa kemungkinan bakal ada pemain baharu akan disenaraikan ke dalam program RTG pada penghujung tahun ini sekali gus mungkin akan menjejaskan kedudukan pemain perseorangan lelaki itu.

Beliau berkata, Zii Jia mempunyai tempoh setahun untuk mempertingkatkan prestasi dan percaya pemain terbabit akan bangkit seterusnya menghasilkan keputusan positif buat negara.

"Saya kira bukan saja Zii Jia(akan di keluarkan) kerana mungkin ada pemain baharu yang akan masuk dan layak pada penghujung tahun ini.

"Nak kata Zii Jia keluar… Wallahualam.. harap daripada Zii Jia yang terbaik dan kembali pada tahap terbaik.

"Pada masa sama, saya optimis kita ada satu tahun lagi dan akan adakan pertemuan dengan semua pemain badminton secara tertutup selepas mereka pulang dari Dubai," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia(FAM), di sini, semalam.

Mengikut rekod, pemain nombor empat dunia itu masih lagi kemarau sebarang gelaran pada musim ini apabila sering tewas seawal pusingan pertama pada penyertaannya di peringkat antarabangsa.

Malah, terbaharu, juara bertahan Kejohanan Badminton Asia (BAC) itu turut menerima tamparan apabila tewas seawal pusingan pertama pada saingan yang berlangsung di Dubai, Emeriah Arab Bersatu (UAE), baru-baru ini.

Selain itu, Penyelaras RTG, Stuart Ramalingam juga menjelaskan bahawa senarai nama atlet dalam program berkenaan sentiasa dipantau bukannya kekal kepada 15 orang seperti yang diumumkan sebelum ini.

"Ini adalah senarai yang sentiasa akan bekerja. Hari ini kita mempunyai seramai 15 orang atlet tapi mungkin selepas ini berkurang berdasarkan penurunan prestasi mereka dalam beberapa bulan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 April 2023 @ 3:44 PM