NG Tze Yong akan berdepan pemain China di Terbuka Malaysia. FOTO ihsan FB BAM
NG Tze Yong akan berdepan pemain China di Terbuka Malaysia. FOTO ihsan FB BAM
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pemain badminton perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong mahu menggunakan peluang beraksi di Terbuka Malaysia sebagai medan membuat persiapan sebelum temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 bermula 28 Julai ini.

Dipilih beraksi di Terbuka Malaysia atas tiket pemain daripada senarai menunggu, Tze Yong akan turun berdepan pemain China, Lu Guang Zu di pusingan pertama.

Berdasarkan kedudukan ranking, kelebihan dilihat memihak kepada Guang Zu yang kini di ranking ke-27 berbanding Tze Yong yang menghuni ranking ke-48 dunia ketika ini.

Namun ia bukan tiket untuk menghalang Tze Yong melakukan kejutan terutama apabila dia turun sebagai pemain 'underdog'.

Katanya, dia tidak meletakkan sasaran tinggi, sebaliknya mahu memberi fokus satu perlawanan demi satu perlawanan.

"Dua minggu ini saya mahu lebih fokus kepada latihan.

"Saya tak nak fikir banyak sangat, hanya mahu fokus saja setiap perlawanan," katanya.

Selain Terbuka Malaysia, dia turut dijadualkan beraksi di Masters Malaysia yang berlangsung dari 5 hingga 10 Julai dan Terbuka Singapura 12 hingga 17 Julai apabila akan bermula di pusingan kelayakan.

Terdahulu, Tze Yong dipilih menggantikan tempat jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia yang memutuskan untuk menarik diri daripada temasya Birmingham 2022 bagi memberikan fokus persiapan menghadapi Kejohanan Dunia yang berlangsung dua minggu selepas temasya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2022 @ 7:29 PM