PEMAIN perseorangan negara, Ng Tze Yong ketika menentang pemain India, Lakshya Sen di final di Birmingham 2022. FOTO ASWADI ALIAS
PEMAIN perseorangan negara, Ng Tze Yong ketika menentang pemain India, Lakshya Sen di final di Birmingham 2022. FOTO ASWADI ALIAS
Ferzalfie Fauzi


Sepang: Pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmingham 2022, Ng Tze Yong tidak mahu terlalu memikirkan lawannya di pusingan pertama Kejohanan Dunia di Tokyo, bermula 22 hingga 28 Ogos depan.

Berdasarkan undian dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), hari ini, Tze Yong akan berdepan juara Masters Malaysia 2022, Chico Aura Dwi Wardoyo.

"Saya tidak mahu fikir banyak walaupun akan berdepan dengan nama besar," kata Tze Yong yang menduduki ranking ke-42 dunia.

Dia yang tumpas kepada perseorangan India, Lakshya Sen di final perseorangan lelaki di Birmingham 2022, mengakui hanya mahu memberikan aksi terbaik pada penampilan sulungnya di Kejohanan Dunia.

"Hanya mahu cuba yang terbaik dalam semua perlawanan, itulah yang saya janji. Mengenai sasaran saya tidak fikir banyak. Saya mahu memberikan permainan terbaik," kata pemain kelahiran Johor itu.

Jika berjaya menumpaskan Chico sekali pun, tugas Tze Yong tidak mudah kerana perlu berdepan pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen; jaguh Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting dan wakil Jepun, Kanta Tsuneyama yang turut berada di laluan undiannya.

Sementara itu, perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia pula diundi menentang pemain Perancis, Brice Leverdez dan Liew Daren pula akan berdepan Axelsen.

Perseorangan wanita, S Kisona akan berdepan pemain Vietnam, Vu Thi Trang dan Soniia Cheah menentang wakil Indonesia, Putri Kusuma Wardani di pusingan pertama kejohanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2022 @ 9:03 PM