BEREGU campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai mencipta kejutan menewaskan pilihan utama dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai.  FOTO ihsan BADMINTON PHOTO
BEREGU campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai mencipta kejutan menewaskan pilihan utama dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai. FOTO ihsan BADMINTON PHOTO
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai mencipta kejutan apabila menewaskan pilihan utama, Dechapol Puavaranukroh dan Sapsiree Taerattanachai di Terbuka Indonesia, hari ini.

Jelas sekali, pasangan negara itu yang berada di ranking ke-13 dunia beraksi cemerlang untuk memastikan tempat ke pusingan seterusnya menerusi perlawanan tiga set, 21-18,7-21,22-20 yang berlangsung di Stadium Istora Senayan, Jakarta.

Walaupun diberikan tentangan sengit pada set penentuan, pengalaman dimiliki pasangan itu berjaya mengekalkan rentak permainan sebelum menghantar pulang lawannya yang berada di ranking pertama dunia.

Sementara itu, jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia tidak berhadapan masalah untuk melangkah ke pusingan kedua selepas menewaskan wakil Thailand, Sitthikom Thammasin.

Zii Jia menampilkan permainan cukup meyakinkan apabila menundukkan lawannya itu 21-15,21-14.

Pemain terbabit diletakkan sebagai pilihan keenam apabila hadir di Jakarta dengan reputasi tinggi selepas muncul juara Kejohanan Badminton Asia (BAC) dan Terbuka Thailand, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2022 @ 5:39 PM