ZII Jia mara ke pusingan kedua Masters Indonesia. FOTO/NSTP
ZII Jia mara ke pusingan kedua Masters Indonesia. FOTO/NSTP
Helmi Talkah


KUALA LUMPUR: Tiada lagi rasa gentar dalam diri pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia setiap kali bertemu pemain utama dunia.

Sebaliknya, pemain berusia 21 tahun itu kini tampil dengan tahap keyakinan cukup tinggi bagi menumbangkan lawan yang jauh lebih hebat.

Selepas cemerlang pada saingan Masters Malaysia minggu lalu sebelum tewas di tangan bekas juara dunia dari Denmark yang juga idolanya, Viktor Axelsen pada suku akhir, Zii Jia terus menunjukkan peningkatan prestasi positif dengan kejayaan mara ke pusingan kedua Masters Indonesia, hari ini.

Kali ini, dia menumbangkan pemain nombor tiga dunia dari Taiwan, Chou Tien Chen 21-13, 21-13 pada pusingan pertama di Istora Senayan.

Ia kemenangan kedua Zii Jia ke atas Tien Chen dalam tiga pertemuan selepas turut menewaskan lawan itu pada Terbuka Taiwan tahun lalu yang menyaksikan dia muncul juara.

“Saya tidak pernah rasa tertekan setiap kali bertemu pemain utama dunia kerana menang atau kalah saya tidak rugi apa-apa. Saya anggap itu semua sebagai satu proses pembelajaran dan berharap saya dapat kekalkan mentaliti seperti ini,” kata Zii Jia ketika dihubungi.

Dia akan bertemu pemain Thailand, Sitthikom Thammasin bagi perebutan tempat ke suku akhir, esok.

Selepas mengharungi tiga kejohanan berturut-turut - Masters Thailand, Malaysia dan Indonesia - dalam tempoh tiga minggu, pemain ranking ke-35 dunia itu mengakui dia mula berasa keletihan ketika bertemu Tien Chen.

“Sebenarnya saya agak keletihan hari ini. Ini kejohanan ketiga saya bulan ini dan saya harap boleh kekal fokus satu demi satu perlawanan,” kata Zii Jia.

Sementara itu, nasib tidak menyebelahi perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei yang ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan pertama selepas tewas kepada pemain China, He Bingjiao.

Bingjiao berjaya melunaskan dendamnya ke atas Jin Wei susulan kekalahan di suku akhir Masters Malaysia, minggu lalu apabila menang 16-21, 23-21, 22-20 dalam tempoh satu jam enam minit.

Seorang lagi perseorangan wanita negara, Soniia Cheah turut mengalami nasib sama apabila tewas kepada bekas juara dunia dari Thailand, Ratchanok Intanon 15-21, 14-21.

Dalam acara beregu wanita, pasangan negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean mara ke pusingan kedua selepas menyingkirkan gandingan Russia, Ekaterina Bolotova-Alina Davletova 21-15, 21-17.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 January 2019 @ 2:11 PM