PAULUS Firman. FOTO Owee Ah Chun
PAULUS Firman. FOTO Owee Ah Chun
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan peletakan jurulatih beregu campuran, Paulus Firman, berkuatkuasa 1 Mei 2022.

BAM dalam satu kenyataan memaklumkan jurulatih berusia 53 tahun itu membuat keputusan untuk tidak memperbaharui kontraknya kerana ingin meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga.

Justeru BAM merakamkan penghargaan kepada Paulus atas sumbangannya kepada beregu campuran dan beregu lelaki sejak beliau kembali ke Malaysia 2018.

Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky mengucapkan terima kasih di atas jasa dan khidmat bakti Paulus atas peranan pentingnya dalam membangunkan beregu campuran dan beregu lelaki.

"Paulus menyatakan bahawa dia mahu meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga di Indonesia. Kami di BAM ingin mengucapkan terima kasih terhadap sumbangannya selama ini dalam membantu membentuk beregu negara.

"BAM kini dalam usaha mengenal pasti calon yang sesuai untuk mengekalkan momentum yang ditinggalkan oleh beliau," katanya.

Sementara itu Paulus berkata, keputusan itu dibuat selepas menimbang dari pelbagai aspek.

"Selepas membuat pertimbangan yang teliti, saya memutuskan untuk tidak menyambung kontrak.

"Bagi saya, keluarga adalah yang paling utama. Saya ingin berehat daripada sukan dan menghabiskan lebih banyak masa dengan ibu bapa, keluarga dan anak-anak saya.

"Saya bersyukur kerana berpeluang berkhidmat dengan BAM sejak empat tahun lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2022 @ 6:00 PM