WEI Chong (kiri) dan Kai Wun bakal beraksi di Sukan Sea Vietnam. FOTO Aswadi Alias
WEI Chong (kiri) dan Kai Wun bakal beraksi di Sukan Sea Vietnam. FOTO Aswadi Alias
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Ketika beregu lelaki muda negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun sedang mempersiapkan diri untuk menghadapi Sukan Sea sulung di Vietnam, mereka dikejutkan dengan berita pemergian ketua jurulatih beregu lelaki negara, Flandy Limpele.

Bagaimanapun, Wei Chong berkata, tindakan Flandy yang tidak mahu menyambung kontrak bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bukan satu masalah besar buat mereka.

"Saya percaya barisan kejurulatihan sedia ada mampu menggalas tugas yang ditinggalkan Flandy bagi memastikan kami berada pada prestasi terbaik sebelum berangkat ke Hanoi nanti," katanya.

Ujarnya, dia sudah tahu berita mengenai Flandy akan meninggalkan BAM awal bulan depan dan menganggap ia bukan masalah besar untuk mereka melakukan persiapan ke Sukan Sea.

"Kami juga masih ada jurulatih-jurulatih lain yang boleh membantu kami untuk mencapai prestasi yang dimahukan sebelum temasya Sukan Sea membuka tirainya nanti. Saya harap beliau berjaya di tempat baharu nanti," kata Wei Chong.

Walaupun tidak bimbang dengan ketiadaan Flandy selepas ini, namun dia yang bergandingan bersama tetap menghargai sumbangan jurulatih berusia 48 tahun itu sehingga mereka mampu menyertai kejohanan utama.

"Agak terkilan dan sedih memandangkan beliau membimbing saya selama dua tahun. Beliau banyak membantu sejak saya mengalami kecederaan sehinggalah mampu menyertai kejohanan-kejohanan besar, saya sangat berterima kasih kepadanya," ujar Wei Chong.

Sejak berada di bawah bimbingan Flandy, Wei Chong-Kai Wun menunjukkan banyak peningkatan apabila berjaya memenangi tiga kejohanan termasuk Terbuka Poland serta Kejohanan Antarabangsa Sepanyol dan India.

Mereka juga diberi kepercayaan untuk berada dalam skuad di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) sehingga membantu pasukan lelaki negara muncul juara menumpaskan Indonesia 3-0 Februari lalu.

Semalam BAM mengesahkan jurulatih yang pernah membimbing beregu lelaki India itu, tidak mahu menyambung kontrak baru sejak menyertai mereka pada 2020.

Persatuan Bulutangkis Seluruh Indonesia (PBSI) mengesahkan Flandy akan pulang ke negara kelahirannya untuk melatih skuad beregu campuran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mac 2022 @ 1:37 PM