RASHID (kanan) tidak setuju Zii Jia meninggalkan BAM. FOTO NSTP
RASHID (kanan) tidak setuju Zii Jia meninggalkan BAM. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) diingatkan supaya bertindak tegas terhadap mana-mana pemain yang cuba berpaling tadah meninggalkan badan induk itu.

Itu saranan bekas legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek mengulas mengenai pemain nombor satu negara, Lee Zii Jia yang ingin meninggalkan BAM untuk bergerak secara profesional.

Rashid berkata, jika BAM memberi muka maka perkara itu akan menjadi ikutan pemain lain selepas berusaha keras untuk menggilap bakat mereka sejak dari bawah.

"Bagi saya, BAM ada kuasa untuk mengenakan tindakan. Kalau perlu kenakan hukuman gantung dan tidak boleh menyertai mana-mana pertandingan antarabangsa, BAM kena buat.

"Sebab jika BAM terus bertolak ansur ia akan menjadi ikutan pemain lain dan tidak mustahil lebih ramai akan tinggalkan BAM.

"Jadi BAM kena tegas dengan keputusan mereka sebabnya jika tidak orang tidak akan hormat BAM sebagai badan induk persatuan itu," katanya.

Terdahulu, isu membabitkan Zii Jia kembali hangat diperkatakan apabila juara Seluruh England itu dikatakan ingin meninggalkan badan induk itu untuk bergerak secara profesional.

Namun BAM mempunyai kuasa untuk mengambil pendekatan menggantung Zii Jia daripada menyertai kejohanan antarabangsa jika dia meninggalkan badan induk itu.

Ia dianggap tindakan wajar selepas banyak wang ringgit dilaburkan buat pemain yang baru berusia 23 tahun itu.

Rashid yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Atlanta 1996 nyata tidak bersetuju jika benar Zii Jia memilih untuk meninggalkan badan induk itu.

"Jangan banding apa yang dia dapat dengan Datuk Lee Chong Wei ketika bergelar pemain sebabnya pencapaian mereka masih jauh dan tidak sama.

"Chong Wei memang mendapat layanan istimewa tapi lihatlah kejayaan dia jika nak dibandingkan dengan Zii Jia yang baru nak bermula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 6:53 PM