PENG Soon (kanan) mengakui perlu perbaiki kombinasi bersama Valeree. FOTO Ihsan Persekutuan Badminton Dunia
PENG Soon (kanan) mengakui perlu perbaiki kombinasi bersama Valeree. FOTO Ihsan Persekutuan Badminton Dunia
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Penyertaan kali pertama di Terbuka India buat gandingan baru beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Valeree Siow memberi perkembangan positif terhadap kombinasi dua pemain itu di dalam gelanggang.

Nyata perbezaan usia tidak menjadi penghalang buat mereka membentuk kombinasi yang lebih mantap di masa depan.

Begitupun Peng Soon mengakui, banyak lagi 'kerja rumah' yang perlu dilakukan dan Terbuka India mampu untuk menjadi penanda aras buat mereka untuk membentuk kombinasi terbaik negara seterusnya melayakkan diri ke temasya Olimpik Paris 2024.

"Apa yang dapat saya lihat, kami perlu tingkatkan lagi kombinasi kami berdua sebab apabila bertemu lawan di peringkat lebih tinggi, saya lihat kombinasi kami masih belum cukup.

"Secara keseluruhan, saya rasa antara saya dan Valeree masih OK. Saya pun rasa puas dengan prestasi dan permainan kami cuma macam saya cakap tadi, ia belum cukup. Kami perlu perbaiki kombinasi kami," katanya.

Valeree dipilih sebagai gandingan baharu Peng Soon selepas pemain senior itu mengumumkan berpisah dengan Liu Ying, bulan lalu selepas bergandingan selama 13 tahun.

Peng Soon, 33, seterusnya kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk meneruskan cabaran di Sukan Olimpik Paris 2024.

Pada aksi suku akhir semalam, Peng Soon-Valeree yang diletakkan sebagai pilihan kelima tewas kepada pilihan kedua dari Russia, Rodion Alimov-Alina Davletova 14-21, 13-21 dalam tempoh 29 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 January 2022 @ 8:28 PM