SOON Huat dan Shevon tewaskan beregu New Zealand. FOTO BAM
SOON Huat dan Shevon tewaskan beregu New Zealand. FOTO BAM
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Gandingan beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan Goh Soon Huat-Shevon Lai menepati ramalan untuk memenangi perlawanan pusingan pertama Terbuka Perancis selepas menang straight set dalam aksi yang berlangsung di Stade Pierre de Coubertin sebentar tadi.

Peng Soon-Liu Ying yang diletakkan pilihan kelima mengambil masa 35 minit untuk mencatat kemenangan 21-19, 21-19 ke atas wakil India, Dhruv Kapila-Reddy N Sikki.

Sebelum itu, Soon Huat-Shevon yang menduduki ranking ke-13 dunia tidak berdepan masalah untuk menunjukkan jalan keluar kepada pasangan New Zealand, Oliver Leydon-Davis-Anona Pak selepas menang 21-9, 21-12.

Kemenangan Peng Soon-Liu Ying yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, menebus kekecewaan minggu lalu selepas mereka tersingkir di pusingan pertama di Terbuka Denmark selepas tumpas 17-21, 19-21 kepada gandingan Hong Kong, Chang Tak Ching-Ng Wing Yung.

Kedua-dua pasangan berkenaan mampu berdepan semula di pusingan kedua jika Tak Ching-Wing Yung berjaya mengalahkan wakil Jepun, Yuki Kaneko-Misaki Matsutomo yang akan berentap malam ini.

Soon Huat-Shevon pula akan berdepan pasangan Russia, Rodion Alimov-Alina Davletova yang mengalahkan Ko Sung Hyun-Eom Hye Won 21-17, 21-11 sebentar tadi.

Sementara itu hasrat dua lagi beregu profesional, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien dan Tan Kian Meng-Tan Wee Kiong untuk mara lebih jauh di Terbuka Perancis tidak kesampaian.

Vivian-Chiew Sien tumpas straight set kepada pasangan Denmark, Alexandra Boje-Mette Poulsen 12-21, 14-21, manakala Kian Meng-Wee Kiong terpaksa akur dengan kehebatan gandingan Jerman, Mark Lamsfuss-Marvin Seidel 18-21, 15-21.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 7:49 PM