Ali Rustam (tengah) menyempurnakan Penyampaian Hadiah Insentif Kemenangan Pemenang Pingat di Temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 kepada Aaron Chia (kiri) di Kompleks Seri Negeri. Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali. FOTO Bernama

BERNAMA

Melaka: Pencapaian pemain badminton beregu lelaki negara, Aaron Chia menyumbangkan pingat gangsa buat Malaysia pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 terus dihargai apabila menerima insentif kemenangan berjumlah RM50,000 dari kerajaan negeri Melaka.

Exco NGO, Pembangunan Belia dan Sukan negeri Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata pemberian imbuhan itu diharap dapat menaikkan semangat semua atlet kelahiran Melaka untuk meraih kecemerlangan di peringkat sukan antarabangsa.

"Ini satu kejayaan dan kebanggaan bagi kerajaan negeri dan Majlis Sukan Negeri. Di samping RM50,000, kerajaan negeri juga memutuskan memberi RM3,000 lagi sebagai ganjaran pencapaian Aaron menyertai Sukan Olimpik.

"Kerajaan negeri mengucapkan jutaan terima kasih dan tahniah kepada Aaron serta atlet lain yang mewakili Malaysia dalam sukan badminton di Olimpik Tokyo," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian insentif kepada atlet-atlet berkenaan yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Aaron Chia (tengah) bersama Meng Yean (kiri) Liu Ying selepas majlis penerimaan Hadiah Insentif Kemenangan Pemenang Pingat di Temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Melaka. FOTO Bernama
Aaron Chia (tengah) bersama Meng Yean (kiri) Liu Ying selepas majlis penerimaan Hadiah Insentif Kemenangan Pemenang Pingat di Temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Melaka. FOTO Bernama

Aaron yang bergandingan dengan Soh Wooi Yik meraih pingat gangsa selepas menumpaskan beregu berpengalaman Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 17-21, 21-17, 21-14 dalam perlawanan penentuan pingat gangsa pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, baru-baru ini.

Sementara itu, Aaron mengucapkan terima kasih atas penghargaan yang diberikan oleh kerajaan negeri atas kejayaannya beraksi di pentas Olimpik itu.

"Saya juga berbangga sebagai anak Melaka boleh sertai Olimpik dan dapat pingat gangsa untuk Malaysia," katanya.

Selain Aaron, dua lagi pemain badminton negara berasal dari Melaka iaitu pemain beregu campuran Goh Liu Ying dan pemain beregu wanita Lee Meng Yean, masing-masing menerima sagu hati RM3,000 kerana menyertai temasya sukan berprestij itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 2:46 PM