JUNE Wei duduki ranking ke-74 dunia. FOTO FAM
JUNE Wei duduki ranking ke-74 dunia. FOTO FAM
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Jurang antara perseorangan utama lelaki negara, Lee Zii Jia dan pemain lelaki lain sangat ketara dan usaha keras perlu dilakukan demi memastikan skuad badminton negara tidak ketandusan bakat.

Antara yang perlu mempertingkatkan usaha adalah Cheam June Wei selepas mempamerkan aksi kurang meyakinkan ketika turun di kejohanan badminton Orleans Masters minggu lalu. Malah June Wei sendiri mengakui dia perlu bekerja keras memperbaiki kedudukan ranking dunia untuk membolehkan dia beraksi di kejohanan lebih besar.

Orleans Masters kejohanan pertama buat pemain menduduki ranking ke-74 dunia itu selepas beraksi di di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Filipina, Februari tahun lalu namun itu bukan alasan untuknya tidak menyerlah.

"Saya tahu keputusan di Orleans tidak beberapa bagus. Saya sepatutnya mara lebih jauh lagi atau sekurang-kurangnya separuh akhir.

"Apa yang boleh dilakukan sekarang adalah tingkatkan usaha dari segi fizikal dan mental supaya diberi kepercayaan untuk menyertai lebih banyak kejohanan selepas ini," katanya.

Atlet berusia 24 tahun itu tewas di pusingan ketiga kejohanan berstatus Super 100 itu kepada pilihan utama dari India K Srikanth.

Mengenai norma baharu terpaksa ditempuhinya, June Wei berkata, perkara itu tidak boleh dielakkan dan antara perlu dipatuhi adalah prosedur operasi standard (SOP) negara bertanding dan ujian calitan Covid-19.

"Saya tidak kisah SOP yang perlu dipatuhi. Semuanya okey sahaja kerana bagi saya yang penting dapat kembali beraksi di peringkat antarabangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mac 2021 @ 11:34 PM