AXELSEN meraikan kejayaan mengalahkan Ginting di final. FOTO AFP
AXELSEN meraikan kejayaan mengalahkan Ginting di final. FOTO AFP
AFP

Bangkok: Pemain perseorangan lelaki nombor satu dunia, Viktor Axelsen mempertahankan kejuaraan untuk meraih trofi Jelajah Dunia Akhir buat kali kelapan selepas mengalahkan Anthony Ginting dalam perlawanan akhir sebentar tadi.

Dalam perseorangan wanita turut mempertahankan kejuaraan ialah wakil dari Jepun, Akane Yamaguchi yang berjaya menumpaskan Tai Tzu Ying di final.

Axelsen dari Denmark, tampil bertenaga dan tenang untuk meraih kemenangan 21-13, 21-14 ke atas lawan yang juga pemain ranking ketujuh dunia.

"Saya rasa sangat luar biasa. Saya tidak sangka dapat pengakhiran sebegini (musim ini)," kata Axelsen.

Dalam perlawanan akhir perseorangan wanita, Akane, berjaya mencatat kemenangan straight set 21-18, 22-20.

Tzu Ying yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo melakukan beberapa kesilapan dan bergelut dalam perlawanan berkenaan tatkala lawannya mempamerkan pukulan berkualiti.

"Lawan saya seorang pemain yang kuat dan berkemahiran tinggi. Pada set kedua saya cuba memberikan yang terbaik, menggunakan kesemua kemahiran dan kekuatan," kata Akane.

Dalam saingan beregu lelaki, pasangan China, Liu Yuchen-Ou Xuanyi muncul juara dengan mengetepikan gandingan veteran Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan untuk meang 21-17, 19-21, 21-12.

Beregu wanita pula menyaksikan pasangan adik-beradik dari Thailand, Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard tumpas kepada wakil China, Chen Qingchen-Jia Yifan 13-21, 14-21.

China juga mengungguli beregu campuran apabila Zheng Siwei-Huang Yaqiong mengalahkan wakil tuan rumah, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai 21-19, 18-21, 21-13.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2022 @ 9:39 PM