AXELSEN  (kanan) puas melakar kejuaraan Seluruh England buat kali pertama. FOTO AFP
AXELSEN (kanan) puas melakar kejuaraan Seluruh England buat kali pertama. FOTO AFP
AFP

PERSEORANGAN lelaki Denmark, Viktor Axelsen meraih kejuaraan Seluruh England buat kali pertama apabila mengalahkan pilihan utama dari Taiwan, Chou Tien Chen semalam.

Axelsen yang kalah kepada Kento Momota pada perlawanan akhir tahun lalau, menebus kekecewaan dengan mencatat kemenangan 21-13, 21-14 di Arena Birmingham.

Menurut pemain berusia 26 tahun itu, muncul juara kali pertama kejohanan berprestij itu adalah saat yang tidak akan dilupakannya.

“Ia memberi makna mendalam buat saya. Ia bagai impian besar menjadi kenyataan dan ia tersenarai di antara kejayaan terbesar saya,” kata Axelsen.

Sementara itu, beregu lelaki Indonesia, Markus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo yang juga gandingan nombor satu dunia gagal melakar kejuaraan buat kali ketiga apabila kalah 18-21,21-12, 19-21 kepada Hiroyuki Endo-Yuta Watanabe (Jepun).

Perseorangan wanita Taiwan, Tai Tzu Ying menewaskan pemain nombor satu dunia, Chen Yufei 21-19, 21-15 untuk muncul juara buat kali ketiga.

Gandingan Yuki Fukushima-Sayaka Hirota (Jepun) meraih kejuaraan beregu wanita selepas mengalahkan wakil China, Du Yue-Li Yinhui 21-13, 21-15.

Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti dari Indonesia mengalahkan Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai (Thailand) 21-15, 17-21, 21-8 untuk memenangi aksi beregu campuran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2020 @ 3:47 AM