Pemain Argentina, Joaquin Correa (tengah) dihalang pemain Bolivia pada aksi kelayakan Piala Dunia di La Paz. FOTO AFP
Pemain Argentina, Joaquin Correa (tengah) dihalang pemain Bolivia pada aksi kelayakan Piala Dunia di La Paz. FOTO AFP
AFP

Montevideo: Joaquin Correa menjaringkan gol kemenangan 11 minit sebelum tamat permainan ketika Argentina mengatasi Bolivia 2-1 dalam saingan kelayakan Piala Dunia di La Paz, pagi ini.

Ia kemenangan tipis kedua buat skuad kendalian Lionel Scaloni susulan kemenangan 1-0 ke atas Ecuador, Khamis lalu.

Marcelo Moreno Martins memastikan tuan rumah Bolivia di depan namun Argentina menyamakan kedudukan menerusi Lautaro Martinez sebelum tamat separuh masa pertama permainan.

Dalam satu lagi saingan, Ecuador bangkit daripada kekalahan kepada Argentina untuk menewaskan Uruguay, 4-2 di Quito.

Luis Suarez (tengah) meledak dua gol ketika menentang Ecuador. FOTO Agensi
Luis Suarez (tengah) meledak dua gol ketika menentang Ecuador. FOTO Agensi

Ecuador mendominasi hampir keseluruhan perlawanan berdepan Uruguay mendahului menerusi tandukan Moises Caicedo berpunca daripada sepakan sudut Angel Mena ketika 15 minit permainan berlangsung.

Michael Estrada mendapatkan gol kedua buat pasukannya namun dinafikan oleh tayangan VAR selepas bola terkena tangan Enner Valencia.

Namun Estrada berjaya menjaringkan gol sebelum waktu rehat selepas memanfaatkan peluang daripada kesilapan yang dilakukan pemain pertahanan tengah veteran Uruguay, Diego Godin.

Uruguay berusaha merapatkan kedudukan tiga minit selepas babak kedua bersambung namun dinafikan kerana bola terkena tangan Darwin Nunez.

Serangan pantas Ecuador membolehkan Estrada melakukan jaringan menarik sebelum Gonzalo Plata memastikan kemenangan selesa pasukan itu.

Gol saguhati Uruguay diperoleh menerusi dua penalti di penghujung permainan yang menyaksikan Luis Suarez melebarkan jaringan kepada 61 dan 62 gol buat negaranya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2020 @ 10:10 AM