PEMAIN Ecuador meraikan kemenangan.
PEMAIN Ecuador meraikan kemenangan.

Quito: Ecuador mengalahkan Uruguay 2-1 yang juga kejayaan ketiga berturut-turut bagi mengekalkan rekod 100 peratus kempen kelayakan Piala Dunia bagi Zon Amerika Selatan.

Ecuador yang memulakan kempen kelayakan menerusi kemenangan mengejut ke atas Argentina di Buenos Aires bulan lalu, mengumpul tiga lagi mata selepas Fidel Martinez menjaringkan gol kemenangan pada babak kedua.

Kemenangan itu membolehkan Ecuador mengumpul sembilan mata selepas tiga perlawanan.

Ecuador sedang berusaha untuk layak ke pusingan akhir Piala Dunia buat kali kedua berturut-turut selepas tampil di Brazil tahun lalu yang menyaksikan mereka tersingkir pada pusingan pertama.

Uruguay yang turun tanpa Luis Suarez, bergelut untuk menyaingi Ecuador di Quito yang terletak kira-kira 9,000 kaki dari aras laut.

Ecuador mendahului pada minit ke-23 menerusi Felipe Caicedo selepas penyerang Espanyol itu menyempurnakan hantaran lintang Juan Paredes dari sebelah kanan gawang Uruguay.

Tetapi Uruguay menyamakan kedudukan empat minit kemudian menerusi Edinson Cavani yang menanduk masuk sepakan percuma Nicolas Lodeiro.

Ecuador kembali berada di depan 10 minit kemudian menerusi Martinez. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 November 2015 @ 5:18 AM