NADAL melakukan pukulan ketika berdepan Korda. FOTO AFP
NADAL melakukan pukulan ketika berdepan Korda. FOTO AFP
AFP

Paris: Juara 12 kali, Rafael Nadal mara ke suku akhir Roland Garros buat kali ke-14, manakala Dominic Thiem terselamat dalam aksi epik lima set dan Alexander Zverev memberi alasan dia terpaksa beraksi walaupun sukar bernafas akibat masalah kesihatan.

Nadal berjaya mengalahkan pemain Amerika Syarikat, Sebastian Korda 6-1, 6-1, 6-2 untuk berada dalam landasan terbaik bagi menyamai rekod meraih 20 kejuaraan Grand Slam.

Ia adalah kemenangan kali ke-97 Nadal dalam kejohanan itu selepas hanya mencatat dua kekalahan sejak dia mula meraih trofi pertama Terbuka Perancis pada 2005.

"Ia adalah aksi yang mantap dan saya sangat gembira," kata Nadal yang sudah mara buat kali ke-42 dalam aksi suku akhir di kejuaraan utama.

Dia selepas ini akan berdepan wakil Itali berusia 19 tahun dan menduduki ranking, ke-75, Jannik Sinner yang sebelum itu mengalahkan Zverez 6-3, 6-3, 4-6, 6-3.

Sinner menjadi pemain paling muda beraksi di suku akhir Grand Slam sejak Novak Djokovic melakukannya di Paris pada 2006.

Zverez mendedahkan dia berasa kurang sihat sejak berjaya mencatat kemenangan ke atas Marco Cecchinato di pusingan sebelum ini.

"Saya tdiak sihat selepas beraksi menentang Cecchinato, saya sukar bernafas dan anda boleh mendengar sendiri suara saya.

"Saya tidak berada pada tahap terbaik, saya tidak sepatutnya bermain," katanya yang kali terakhir melakukan ujian Covid-19 29 September lalu dan keputusannya adalah negatif.

Pilihan ketiga, Thiem yang muncul naib juara dua tahun lalu, diberikan cabaran getir oleh wakil tuan rumah, Hugo Gaston.

Gaston yang menduduki ranking ke-239 dunia sebelum ini mengejutkan juara 2015, Stan Wawrinka pada aksi lima set di pusingan ketiga.

Thiem mara ke suku akhir buat tahun kelima berturut-turut namun dia perlu berhempas-pulas sebelum mencatat kemenangan 6-4, 6-4, 5-7, 3-6, 6-3 dan akan berdepan pilihan ke-12 dari Argentina, Diego Schwartzman.

"Dia melakukan pukulan rendah seperti seorang pemain yang datang dari planet lain. Saya sangat bernasib baik dapat melepasi halangan ini," kata Thiem mengenai Gaston.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Oktober 2020 @ 3:04 PM