PEMAIN Sepanyol, Rafael Nadal menewaskan pemain muda Kanada, Felix Auger-Aliassime di pusingan keempat Terbuka Perancis, hari ini. FP. FOTO REUTERS
PEMAIN Sepanyol, Rafael Nadal menewaskan pemain muda Kanada, Felix Auger-Aliassime di pusingan keempat Terbuka Perancis, hari ini. FP. FOTO REUTERS
AFP

Paris: Rafael Nadal mengesahkan pertemuan hebat di suku akhir Terbuka Perancis menentang pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic, Selasa ini, selepas dia mengatasi Felix Auger-Aliassime dalam pertarungan lima set di pusingan keempat, hari ini.

Nadal yang juga juara 13 kali di Roland Garros dan pemegang rekod dengan 21 gelaran Grand Slam menewaskan pemain Kanada itu 3-6, 6-3, 6-2, 3-6, 6-3 dalam pertarungan sengit yang berlarutan selama empat jam dan 21 minit.

Nadal dan Djokovic akan bertemu buat kali ke-10 di Roland Garros dan yang ke-59 dalam persengketaan yang bermula sejak 2006 itu.

"Kami cukup mengenali satu sama lain dan banyak memiliki sejarah. Apa yang boleh dikatakan, saya akan fokus, mencuba yang terbaik dan berjuang sehingga ke akhir," kata Nadal yang akan berdepan juara bertahan itu pada Selasa ini.

Nadal menang Terbuka Perancis empat tahun berturut-turut sebelum tewas kepada Djokovic di separuh akhir tahun lalu sebelum pemain Serbia itu menjuarai kejohanan.

Ia adalah kali ketiga Nadal tewas di acara utama di gelanggang tanah liat sejak membuat penampilan pada 2005.

Nadal turut memuji Auger-Aliassime, 21, yang berlatih dengan bapa saudaranya yang juga bekas jurulatih, Toni, sejak April tahun lalu.

"Felix adalah pemain bakat. Dia pemain muda dengan banyak tenaga dan bergerak dengan pantas," kata jaguh dari Sepanyol itu yang mara ke suku akhir untuk kali ke-16.

Sementara itu, pemain remaja sensasi, Carlos Alcaraz menewaskan Karen Khachanov 6-1, 6-4, 6-4, hari ini, untuk turut mengesahkan tempat ke suku akhir dan meneruskan rentak kemenangan dengan 14 perlawanan.

Pemain berusia 19 tahun itu yang mencipta nama dalam dunia tenis tahun ini, muncul pemain lelaki termuda dalam tempoh 29 tahun yang mara ke dua suku akhir Grand Slam selepas melakukannya di Terbuka Amerika Syarikat, sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2022 @ 8:52 AM