VERSTAPPEN berjaya mengungguli perlumbaan pecut sulung di GP British sekali gus berjaya meraih petak utama. FOTO AFP
VERSTAPPEN berjaya mengungguli perlumbaan pecut sulung di GP British sekali gus berjaya meraih petak utama. FOTO AFP
AFP

Silverstone: Pendahulu keseluruhan, Max Verstappen memenangi perlumbaan pecut Formula Satu (F1) yang kali pertama diadakan semalam untuk meraih petak utama Grand Prix (GP) British.

Pelumba Red Bull itu menamatkan pecutan 100 kilometer (km) dengan mengatasi penyandang juara dunia, Lewis Hamilton dan Valtteri Bottas tatkala kedua-dua pelumba Mercedes itu hanya berpuas hati di kedudukan kedua dan ketiga.

Verstappen mendahului 33 mata ke atas juara dunia tujuh kali, Hamilton yang berharap dapat meraih kejuaraan kali kelapan GP British hari ini.

"Kami saling menyaingi antara satu sama lain ketika tayar pula semakin haus," kata Verstappen yang mengumpul tiga mata atas kemenangannya itu selepas mengatasi pesaingnya dengan kelebihan 1.4 saat.

Hamilton pula meraih dua mata manakala Bottas, satu mata.

"Saya gembira kerana dapat meraih tiga mata dan ia seperti tidak masuk akal untuk mengatakan bahawa saya juga berjaya menduduki petak utama," kata pelumba Belanda itu.

Hamilton memulakan saingan pecut itu di petak depan selepas menduduki tangga teratas aksi kelayakan Jumaat lalu.

Bagaimanapun, dia mengakui bakal menghadapi cabaran sengit untuk meraih kemenangan ke-99 dalam kariernya di depan penonton yang dianggarkan seramai 90,000 orang.

"Sesuatu yang menyeronokkan buat penyokong apabila dapat menghadiri lebih banyak perlumbaan," kata Hamilton.

Perlumbaan pecut itu adalah yang pertama daripada tiga saingan yang dirancangkan tahun ini.

Dua lagi perlumbaan seperti itu akan diadakan di GP Itali September depan dan yang ketiga masih belum diputuskan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Julai 2021 @ 10:10 AM