HAMILTON gembira selepas mengatasi rekod Schumacher selepas meraih kejuaraan kali ke-92 di GP Portugal. FOTO Agensi
HAMILTON gembira selepas mengatasi rekod Schumacher selepas meraih kejuaraan kali ke-92 di GP Portugal. FOTO Agensi
AFP

Portimao: Lewis Hamilton berjaya mengatasi rekod legenda Formula Satu (F1), Michael Schumacher selepas berjaya merangkul kejuaraan kali ke-92 sebentar tadi di Grand Prix (GP) Portugal.

Pelumba Britain itu, yang berjaya menyamai rekod Schumacher di GP Eifel awal bulan ini, meneruskan penguasaan keseluruhan mengatasi rakan sepasukannya, Valtteri Bottas, yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua.

Hamilton akan menyamai satu lagi rekod Schumacher dengan meraih kejuaraan dunia buat kali ketujuh tahun ini.

Ini adalah kejuaraan kali kelapannya musim ini daripada hanya 12 perlumbaan, dengan baki hanya lima lagi perlumbaan tatkala saingan 2020 dihimpit pandemik Covid-19.

Pelumba Belanda, Max Verstappen (Red Bull) melengkapkan kedudukan podium hari ini, manakala Charles Leclerc dari Ferrari meraih tempat keempat.

Ini adalah perlumbaan kali ketujuh Hamilton, Bottas dan Verstappen mengungguli kedudukan tiga terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2020 @ 11:23 PM