DE Bruyne (kiri) ketika beraksi bersama Belgium pada saingan Liga Negara-Negara. FOTO AFP
DE Bruyne (kiri) ketika beraksi bersama Belgium pada saingan Liga Negara-Negara. FOTO AFP
AFP

PENGURUS Manchester City, Pep Guardiola memuji Kevin De Bruyne sebagai pemain tengah terbaik di dunia menjelang kempen baharu Liga Perdana Inggeris.

De Bruyne dinobatkan sebagai pemain terbaik oleh Persatuan Pemain Bolasepak Profesional (PFA) pada minggu ini selepas melalui musim 2019/2020 dengan cemerlang di Liga Perdana Inggeris.

"Dia berada di kelas tersendiri, salah seorang pemain terbaik yang pernah saya bimbing," kata Guardiola di dalam dokumentari terbaharu mengenai karier De Bruyne bertajuk 'Made in Belgium'.

"Ketika ini dia adalah yang terbaik. Di posisi tengah dia juga paling terbaik."

Bekas kapten City, Vincent Kompany pula percaya Guardiola menjadi pengurus terbaik untuk De Bruyne

City sudah memenangi dua gelaran Liga Perdana Inggeris dan empat lagi trofi domestik sejak Guardiola membimbing kelab itu bermula 2016.

Kompany yang juga bekas pemain kebangsaan Belgium berkata: "Saya fikir untuk mendapatkan yang terbaik daripada Kevin, anda perlu bermain dengan cara tertentu.

"Anda tidak akan pernah dapat menyaksikan prestasi terbaik Kevin jika anda bukan pasukan yang berfikiran menyerang. Maksud saya menyerang dengan pelbagai cara termasuk memberi tekanan dan menguasai permainan.

"Gandingan Kevin dan Pep sangat sempurna. Saya tidak fikir dia mampu cemerlang dalam kariernya kecuali apabila bekerja bersama Pep."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2020 @ 9:40 AM