PEP GUARDIOLA
PEP GUARDIOLA
AFP

 

MIAMI: Bintang Manchester City yang beraksi pada Piala Dunia memutuskan untuk kembali berlatih lebih awal dan membantu pengurus mereka Pep Guardiola dalam misi mempertahankan gelaran Liga Perdana Inggeris.

Skuad juara Inggeris itu mempunyai 16 pemain yang beraksi di Russia di mana pemain seperti Kevin De Bruyne, Vincent Kompany, John Stones, Kyle Walker , Fabian Delph dan Raheem Sterling hanya akan kembali pada hujung minggu depan.

Semua pemain diberikan cuti tiga minggu sebaik pembabitkan mereka dalam kejohanan itu berakhir.

Namun Guardiola berkata hari ini hnya dua daripada pemainnya tidak akan beraksi pada aksi pembuka tirai, Perisai Komuniti menentang Chelsea 5 Ogos ini.

Guardiola, bercakap sebelum perlawanan terakhir City pada jelajah AS menentang Bayern Munich hari ini berkata: “Kebanyakan daripada mereka akan kembali. Kami hanya mempunyai empat atau lima hari untuk persiapan final pertama (Perisai Komuniti) jadi kami perlu sesuaikan diri.

“Ada di antara mereka kembali sebelum final dan ada yang pulang selepas itu.

“Kami perlukan pemain untuk perlawanan akhir itu tetapi jika mereka tidak kembali kami akan turunkan sesiapa yang ada.

“Ia bukan satu situasi yang ideal, kami lebih suka jika semuanya ada dan begitu juga dengan Niko Kovac (pengurus Bayern) atau pengurus lain. Kami perlu sesuaikan diri dengan kalendar perlawanan.

Guardiola menegaskan tiada perpindahan penting untuk memperbaiki skuadnya sebelum tamat jendela perpindahan dengan Riyad Mahrez daripada Leicester menjadi satu-satunya pembelian setakat ini.

“Jika kami lakukannya, kami akan membeli seorang lagi tetapi kali ini kami kekal dengan apa yang ada,” kata pengurus City.

“Ia terlalu mahal dan kami berbelanja besar tahun lalu kerana kami mempunyai skuad yang lama. Mungkin satu akan datang atau mungkin tidak.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Julai 2018 @ 8:46 AM