Jurulatih Inter Milan, Antonio Conte. FOTO AFP
Jurulatih Inter Milan, Antonio Conte. FOTO AFP
AFP

ANTONIO Conte mencetuskan tanda tanya mengenai kedudukannya sebagai jurulatih Inter Milan dengan berkata kelab itu mesti menilai masa depan mereka "bersama atau tanpa saya" selepas kekalahan 2-3 kepada Sevilla dalam saingan final Liga Europa pagi ini.

"Kini kami akan kembali ke Milan, kami akan berehat beberapa hari. Kami akan bertemu, menilai musim ini dan semuanya akan berlaku dalam keadaan yang tenang.

"Kami akan cuba merancang masa depan Inter bersama atau tanpa saya," kata Conte, 51, kepada Sky Sport.

"Ia adalah musim yang sukar dalam semua aspek, keputusan terbaik mesti diambil untuk kebaikan Inter, dengan cara terbaik.

Conte menanggalkan pingat selepas berjalan melepasi trofi Liga Europa. FOTO AFP
Conte menanggalkan pingat selepas berjalan melepasi trofi Liga Europa. FOTO AFP

"Tiada rasa benci, ada banyak pandangan berbeza.

"Bagi saya ia musim yang cantik, saya berterima kasih kepada mereka yang memberikan saya peluang untuk melalui pengalaman yang menakjubkan."

Bekas pengendali Chelsea dan Juventus itu mengemudi Inter Milan pada Mei 2019.

Kelab berkenaan menamatkan saingan di tangga kedua Serie A, hanya satu mata di belakang juara Juventus, dan mara ke final Eropah pertama dalam sedekad.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2020 @ 8:11 AM