CONTE hampir meninggalkan Inter hujung musim lalu. FOTO AFP
CONTE hampir meninggalkan Inter hujung musim lalu. FOTO AFP

Rome: Antonio Conte akan memulakan musim keduanya selaku jurulatih Inter Milan dengan misi menyekat bekas kelabnya, Juventus meraih gelaran Serie A 10 kali berturut-turut.

Conte membimbing Juve untuk meraih tiga gelaran pertama daripada sembilan yang dimenangi bermula 2012 sebelum menjadi jurulatih Itali serta Chelsea dan berhijrah ke Inter pada Mei tahun lalu.

Prestasi tidak menentu pengendali berusia 51 tahun itu pada musim pertama bersama Inter diiringi kesan pendemik Covid-19 yang menyebabkan huru-hara di bahagian utara Itali sebelum merebak ke seluruh Eropah.

Pengendali dari Itali itu tampak mahu meninggalkan kelab selepas kekalahan Inter pada final Liga Europa kepada Sevilla dan hanya menamatkan saingan satu mata di belakang Juve dalam liga.

"Saya tidak mahu mengundur. Saya tidak mahu setahun lagi seperti itu," katanya sambil mengherdik kurangnya sokongan daripada pihak pengurusan.

Bagi menyelesaikan kemelut itu dan memujuk Conte, perbincangan diadakan dengan pemilik kelab dari China yang berkongsi cita-cita bagi merangkul gelaran pertama Serie A sejak 2010, tahun bersejarah gelaran treble bersama Jose Mourinho.

"Saya tidak pernah melihat seseorang yang sangat bekerja keras dan teliti seperti Conte, perwatakan ini juga menyatukan kami," kata Presiden Inter, Steven Zhang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2020 @ 10:52 AM