HAFIZH kemalangan ketika beraksi di GP Austria
HAFIZH kemalangan ketika beraksi di GP Austria
Syazwan Msar


SEMANGAT cukup kental dengan cuba menahan kesakitan semata-mata mahu berlumba hujung minggu ini namun pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah terpaksa akur bahawa kecederaan yang dialami membataskan pergerakan termasuk untuk menunggang motosikal.

Jelas situasi berkenaan membayangkan Hafizh Syahrin perlu berehat dalam tempoh sekurangnya seminggu lagi sebelum dia akan menjalani pemeriksaan lanjut sebelum dibenarkan untuk menyertai perlumbaan seterusnya.

Hafizh berkata, walaupun cuba 'menyorok' kesakitan ketika sesi latihan namun tindakan itu ternyata sia-sia apabila doktor mengesahkan dia kurang cergas untuk beraksi di Grand Prix (GP) Styria hujung minggu ini.

"Saya tak boleh nak berlumba kerana masih sakit dan ketika sesi ujian pula cuba nak tunggang motosikal namun terhalang.

"Sememangnya sudah cuba sedaya upaya namun doktor memberitahu supaya perlu berehat dan akan buat kemunculan pada perlumbaan seterusnyan nanti.

"Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang banyak memberikan sokongan dan berdoa supaya saya cepat sembuh," katanya.

Insiden Ahad lalu bermula selepas pelumba Italtrans Racing Team, Enea Bastianini terjatuh di selekoh pertama dan jenteranya melintang di atas litar sebelum Hafizh yang ketika itu sedang memecut dengan kelajuan tinggi bersama barisan pelumba lain tidak dapat mengelak dan melanggar jentera Bastianini.

Hafizh kemudian dilihat terpelanting jauh menuju ke tepi litar dan jenteranya berkecai sebelum bendera merah dikibarkan dan perlumbaan dihentikan seketika. Pelumba berusia 26 tahun itu kemudian dikejarkan ke pusat perubatan di litar itu.

Perlumbaan kedua di Red Bull Ring iaitu GP Styria akan berlangsung Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Ogos 2020 @ 3:32 PM