HAFIZH bergalut dengan masalah pelarasan jentera.
HAFIZH bergalut dengan masalah pelarasan jentera.

Sepang: Pelumba Moto2 negara Hafizh Syahrin Abdullah berharap dapat berada dalam kelompok 15 terbaik pada sesi kelayakan hari ini bagi membolehkannya menamatkan saingan dalam kalangan 10 terbaik pada perlumbaan sebenar, esok.

Hafizh yang turut mendapat gelaran 'Pescao' (ikan kecil) kerana tunggangan agresif ketika litar basah, turut mengaku lebih selesa beraksi dalam keadaan itu pada perlumbaan sebenar nanti.

Namun, pelumba berusia 20 tahun dari pasukan Petronas Raceline Malaysia itu mahu kru pasukan menyelesaikan masalah jenteranya terlebih dulu sebelum memikirkan perkara lebih jauh.

Ini kerana pada dua sesi ujian bebas semalam, jenteranya dilihat bergelut untuk mendapatkan pelarasan baik hingga menyaksikannya gagal melakukan catatan masa terbaik.

Hafizh sekadar mencatat masa ke-20 terpantas ketika sesi ujian pertama serta jatuh ke-26 terpantas di sesi kedua.

"Kami belum mendapat pelarasan tepat dengan jentera dan litar. Sebab itu saya memang agak bergelut pada kedua-dua sesi latihan tadi.

"Saya serta pasukan akan bekerja keras untuk memastikan kami berada dalam kelompok 15 terbaik ketika sesi kelayakan.

"Saya tidak kisah berlumba baik di litar basah atau kering, tapi kalau basah ia sedikit memberi kelebihan kepada saya.

"Apapun, saya harapkan jentera akan berada pada prestasi terbaik esok (hari ini)," katanya.

Hafizh mempunyai rekod cemerlang di Sepang termasuk menamatkan saingan di tempat keempat pada 2012 ketika beraksi menerusi tiket wild card sebelum podium ketiga diberikan kepadanya selepas pelumba Australia Anthony West yang ketika itu menaiki podium kedua, gagal ujian doping.

Tahun lalu, Hafizh yang beraksi menerusi tiket wld card meraih satu mata selepas menamatkan perlumbaan di tempat ke-15.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Oktober 2014 @ 5:03 AM