Borna Coric. FOTO File Agensi
Borna Coric. FOTO File Agensi
AFP

BORNA Coric menyelar Nick Kyrgios yang mengkritik pihak terbabit dalam kejohanan tenis pertunjukan Jelajah Adria dikelolakan Novak Djokovic yang ditimpa pelbagai nasib malang.

Coric menyifatkan pandangan pemain Australia itu adalah seperti mahu "menjadi ketua selepas bertarung".

Coric, 23, pemain dari Croatia adalah salah seorang daripada empat pemain yang didapati positif Covid-19 di kejohanan Balkans bulan lalu, disamping Djokovic, rakan senegara pemain nombor satu dunia itu dari Serbia, Viktor Troicki dan pemain ranking ke-19, Grigor Dimitrov.

Kyrgios terang-terang mengkritik sesiapa sahaja yang beraksi dalam kejohanan itu dan menuduh tindakan berkenaan "tiada otak".

Pemain berusia 25 tahun itu turut melabelkan Djokovic dan beberapa pemain utama lain melakukan tindakan "kurang bijak" dan kelakuan yang mendatangkan risiko.

"Saya sudah membaca apa yang tulisnya, tetapi saya sedikit pun tak kisah kerana sikapnya memang begitu seperti mahu menjadi "ketua selepas bertarung," kata Coric kepada akhbar Jutarnji List apabila ditanya mengenai kritikan Kyrgios.

"Jika seseorang sedang mengajar saya mungkin faham, tetapi ia adalah Kyrgios... sememangnya ia adalah tidak realistik.

"Tetapi ok, itu adalah caranya, bagaimana cara dia berfungsi. Secara peribadi saya tidak berdepan masalah dengan perkara itu dan tidak menjejaskan tumpuan saya."

Kyrgios turut menyelar tindakan "pentingkan diri sendiri" Alexander Zverev selepas pemain itu didapati menyertai sebuah parti seterusnya melanggar arahan pengasingan diri susulan penyertaan di Jelajah Adria.

"Saya bersetuju kerana ia tidak patut apabila Zverev melakukan perkara yang tidak baik, tetapi tidak perlulah mengkritik rakan pemain dengan cara yang tidak sepatutnya." tambah Coric pemain nombor 33 dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2020 @ 10:27 AM