Kai Havertz
Kai Havertz
Agensi

CHELSEA dilaporkan menaruh keyakinan dapat mengikat pemain Bayer Leverkusen, Kai Havertz pada musim panas ini.

Sekalipun The Blues tidak layak bersaing dalam Liga Juara-Juara musim depan.

Skuad kendalian Frank Lampard ketika ini di tangga keempat dalam carta Liga Perdana dan sedar hanya tiga mata berdepan Wolves malam ini dapat mengesahkan tempat dalam kelompok empat teratas.

Kekalahan ke atas anak buah Nuno Espirito Santo pula dapat membuka pintu buat Leicester City memburu tempat ketika the Foxes melayan kunjungan pasukan di tangga ketiga Manchester United di Stadium King Power.

Laporan sebelum ini menyatakan skuad kendalian Lampard perlu memastikan tempat ke Liga Juara-Juara musim depan dalam usaha menandatangani Havertz pada musim panas ini.

Bagaimanapun, gergasi Inggeris itu menaruh keyakinan dapat memenuhi perjanjian menandatangani pemain berkenaan sekalipun gagal merebut tempat dalam saingan Eropah bagi kempen 2020-21.

Laporan akhbar menyatakan Chelsea bertekad untuk menjadikan pemain kebangsaan Jerman itu penyerang ketiga berjaya ditandatangani mereka pada musim panas selepas berjaya melengkapkan perpindahan Hakim Ziyech dan Timo Werner.

Havertz sudahpun menyatakan persetujuan dengan syarat-syarat ditetapkan dengan kontrak selama lima tahun di Stamford Bridge.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2020 @ 1:38 PM