ARRIZABALAGA gagal pamer prestasi terbaik musim ini. FOTO Agensi
ARRIZABALAGA gagal pamer prestasi terbaik musim ini. FOTO Agensi
Agensi

FRANK Lampard bercadang merombak Chelsea besar-besaran pada musim panas dengan lapan pemain bakal ditunjuk pintu keluar, menurut The Sun.

Kepa Arrizabalaga yang gagal mempamerkan aksi terpuji musim ini dan kehilangan tempat kepada Willy Caballero antara yang dijangka terpaksa meninggalkan Stamford Bridge bagi membolehkan pengendali The Blues itu memperkasakan gawang pasukan.

Pemain tengah, Ross Barkley dan Jorginho bakal menerima nasib sama selain pertahanan kiri, Marcos Alonso dan Emerson manakala Kurt Zouma, Willian dan Pedro akan dipantau prestasi sehingga akhir musim.

Lampard seperti hilang sabar selepas menyaksikan skuadnya dibelasah Bayern Munich 0-3 dalam saingan Liga Juara-Juara semalam selain menduduki tangga keempat Liga Perdana.

Kekalahan memalukan itu menyedarkan Lampard bahawa skuadnya itu memerlukan ‘pembedahan’ segera dalam usaha bersaing di peringkat tertinggi dan mencabar trofi.

Difahamkan perubahan drastik itu boleh menimbulkan risiko tetapi Lampard mendapat restu untuk melakukan perubahan demi kemajuan pasukan.

Lampard telah pun menandatangani pemain sayap, Hakim Ziech dari Ajax dengan harga £37 juta (RM201 juta) yang akan menyertai mereka pada musim panas bagi menambahkan kreativiti di bahagian serangan.

Dia juga berharap dapat menandatangani empat lagi pemain dengan pertahanan kiri, Ben Chilwell dari Leicester dan Jan Oblak dari Atletico Madrid menjadi sasaran utama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Februari 2020 @ 10:44 AM