Pemain sayap Dortmund, Jadon Sancho jadi buruan United.
Pemain sayap Dortmund, Jadon Sancho jadi buruan United.
Agensi

MANCHESTER United perlu layak bersaing dalam Liga Juara-Juara musim depan untuk mencerahkan peluang kelab itu menandatangani bintang muda Borussia Dortmund, Jadon Sancho.

Kelab dari Old Trafford itu memberi bayangan mendapatkan khidmat pemain penyerang itu sebagai keutamaan mereka pada musim panas ini dan laporan menyatakan pemain kebangsaan bawah 18 tahun England itu adalah pilihan utama mereka.

Sancho menyertai Dortmund dari Manchester City pada Ogos 2017 dalam usaha mencari pasukan bola sepak pertamanya dan kehadirannya memberi impak berkesan bagi pasukan liga Jerman itu.

Menurut The Mirror, United mengambil keputusan untuk menandatangani Sancho namun dalam masa sama perlu berada dalam kelompok empat teratas demi memastikan saingan di peringkat Liga Juara-Juara musim depan.

Pemain muda itu turut beraksi baik dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini bersama Dortmund dan kelab berkenaan sudah pasti mengibarkan saingan dalam kejohanan sama musim depan kerana ketika ini mereka masih menerajui Bundesliga.

United, ketika ini berada di kedudukan keempat dalam Liga Perdana Inggeris tetapi berhadapan cabaran sengit Arsenal dan Chelsea ketika ini dan seterusnya hingga hujung musim ini.

Dortmund menegaskan bawah Sancho, yang membuat tiga penampilan antarabangsa di bawah kendalian jurulatih Gareth Southgate adalah bukan pemain untuk dijual dalam apa harga sekalipun kerana kontrak pemain itu hanya akan tamat pada Jun 2022.

Namun apa sahaja sekitar £100 million (RM531.64 juta) adalah jalan penyelesaiannya, terutama apabila mereka hanya membayar £8 million (RM42.53 juta) untuk menandatangani Sancho dari akademi City sekitar 18 bulan lalu.

City mungkin mendapat faedah daripada penjualan Sancho, selepas memasukkan syarat keuntungan sebanyak 15 peratus untuk urusan penjualan pemain dalam terma perjanjian.

Pemain kelahiran London itu beraksi cemerlang musim ini dengan menjaringkan lapan gol dan membantu mencipta 13 jaringan dalam semua pertandingan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 12:45 AM