FINAU berkongsi kedudukan teratas bersama Palmer pada hari kedua Memorial. FOTO AFP
FINAU berkongsi kedudukan teratas bersama Palmer pada hari kedua Memorial. FOTO AFP
AFP

TONY Finau bangkit dari dua bogey pada awal saingan untuk melakukan tiga di bawah par 69 dan berjaya kekal menguasai saingan bersama Ryan Palmer pada hari kedua Kejohanan Memorial Jelajah PGA Amerika Syarikat (AS).

Ketika penyandang juara Masters, Tiger Woods bergelut untuk mencari sentuhan selepas melakukan empat di atas par 76 dan berdepan untuk tidak melepasi cut buat kali pertama di Memorial, Finau bersama Palmer pula kekal cemerlang di lapangan berkenaan.

Finau melengkapkan aksinya dengan melakukan birdie kelima pada lubang terakhir untuk membolehkan dia mengumpul keseluruhan sembilan di bawah par 135.

"Saya gembira dengan cara saya menamatkan saingan. Walaupun tidak bermula dengan baik tapi saya sedar saya mampu kembali bangkit selepas lubang 12, hanya perlu kekal melakukan pukulan jauh dengan baik dan cuba untuk mengekalkan aksi terbaik.

"Saya mampu menyelesaikannya selepas itu," katanya yang mula melakukan bogey pada lubang ke-10 dan melakukan perkara sama pada lubang ke-12.

Palmer juga perlu bangkit dari kesilapan melakukan bogey awal, sebelum membenam lima birdie untuk mencatatkan empat di bawah 68.

Pencabar terdekat mereka di lapangan berkenaan ialah pemain Sepanyol, Jon Rahm yang mengumpul 67 pukulan.

Rahm yang juga pemain nombor dua dunia melakukan enam birdie untuk mengumpul lima di bawah par,

menguatkan usahanya untuk mengatasi Rory McIlroy bagi kedudukan ranking terbaik dunia minggu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Julai 2020 @ 3:17 PM