AZAM Azmi tekad rebut slot dalam skuad negara Bawah-19 Tahun. FOTO Ihsan TFC
AZAM Azmi tekad rebut slot dalam skuad negara Bawah-19 Tahun. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


PEMAIN muda sedang meningkat naik, Muhammad Azam Azmi Murad, tekad mahu rebut slot dalam skuad negara menghadapi Pusingan Akhir Kejuaraan Bawah-19 (B-19) AFC 2020 yang bakal berlangsung di Uzbekistan mulai 14 Oktober depan.

Pemain tengah Terengganu FC (TFC) berusia 19 tahun itu yang menyinar bersama skuad kebangsaan tahun lalu juga berazam untuk meledak gol jika diberi peluang jurulatih, Brad Maloney menyarung jersi skuad kebangsaan.

Pada pusingan kelayakan Kejohanan AFC B-19 di Kemboja tahun lalu, Azam berjaya meledak satu gol ketika pasukan negara menumpaskan Australia 3-0 sebelum menambah dua gol peribadi lagi ketika membelasah Brunei 11-0.

"Sudah tentu saya begitu gembira dipanggil menjalani latihan pusat bersama kem pasukan negara lebih-lebih lagi selepas berehat panjang bagi mematuhi tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Saya tekad mahu rebut slot dalam skuad kebangsaan walaupun sedar bukan mudah untuk memikat Maloney kerana saingan sudah pasti lebih sengit dengan beberapa pemain baharu dipanggil.

"Jika terpilih mewakili pasukan negara, seperti pemain lain sudah pasti saya mahu menghidangkan aksi terbaik dalam kejohanan itu yang berbaki kira-kira tiga bulan lagi.

"Pengalaman beraksi di pentas tertinggi Liga Super, muncul juara Piala Belia dan naib juara Kejohanan AFF Bawah 18 Tahun di Vietnam musim lalu juga memberi lebih keyakinan untuk berada dalam skuad negara," ujar Azam.

Selain Azam, dua lagi pemain skuad Penyu yang mendapat panggilan menjalani latihan pusat negara termasuk penjaga gol utama, Muhammad Rahadiazli Rahalim dan pemain sayap, Muslihuddin Atiq Mat Zahid, ketiga-tiga pemain ini juga adalah tonggak utama skuad Piala Belia Terengganu musim lalu ketika muncul juara.

Skuad Harimau Muda kendalian Maloney akan memulakan kempen di Uzbekistan menentang Tajikistan pada 16 Oktober disusuli Qatar, 19 Oktober dan Yaman pada 22 Oktober.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2020 @ 6:47 PM