AIMAN Afif terpilih ke dalam latihan skuad B-19 negara. FOTO FB FA Kedah
AIMAN Afif terpilih ke dalam latihan skuad B-19 negara. FOTO FB FA Kedah
Izzali Ismail


PEMAIN muda skuad Lang Merah, Mohd Aiman Afif Md Afizul terus menjadi perhatian apabila namanya disenaraikan dalam latihan skuad bawah 19 (B-19) negara bagi persiapan menghadapi Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-19 di Uzbekistan pada Oktober ini.

Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) melalui media rasminya hari ini mengumumkan pemilihan Aiman Afif bersama empat pemain lain iaitu masing-masing dua dari skuad Piala Presiden Kedah dan Piala Belia Kedah untuk menyertai sesi latihan pusat skuad kendalian Brad Maloney bermula esok.

"Tahniah kepada semua lima pemain muda Kedah yang dipanggil untuk menyertai sesi latihan pusat bersama skuad kebangsaan bawah 19 tahun (B-19) di bawah kendalian ketua jurulatih Brad Maloney.

"Mohd Aiman Afif Md Afizul dari skuad utama Kedah mengetuai rakan-rakan yang lain dari skuad Piala Presiden dan Piala Belia Kedah akan melaporkan diri pada 6 Julai 2020 ini di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya.

"Dua nama dari skuad Piala Presiden yang terpilih ialah Muhammad Amirul Akmal Safarinizam dan Muhammad Zulhazrizal Mohd Zuher, manakala dua pemain dari Piala Belia yang juga berada dalam senarai ialah Muhammad Aiman Farhan Muhamad Fauzi dan Muhammad Azim Anuar," kata kenyataan itu.

KFA dalam kenyataannya turut mengucapkan tahniah buat kelima-lima pemain berkenaan dalam membawa nama Kedah ke saingan antarabangsa.

"Semoga kelima-lima mereka akan memberikan semangat juang yang tinggi untuk mengharumkan nama Malaysia," katanya.

Aiman yang kini berusia 19 tahun turut mempamerkan prestasi cemerlang ketika mewakili skuad Malaysia B-18 dalam saingan kelayakan AFC B-19 tahun lalu dimana dia turut membanggakan Kedah dengan merekodkan tujuh gol dalam kejohanan itu.

Skuad B-19 dalam program persediaan untuk menghadapi pusingan akhir kejohanan AFC B-19 dari 14 hingga 31 Oktober di Tashkent, Uzbekistan.

Aiman Afif sebelum ini menjadi perhatian netizen terutama penyokong Lang Merah apabila wajahnya dikatakan seiras pelakon popular drama bersiri TV3 Budak Tebing dan telefilem, Heri Bota, Aedy Ashraf.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2020 @ 3:05 PM