PEMAIN Atalanta   Hans Hateboer (kanan) menjaringkan gol ketika menentang  Cagliari di Stadium Sardegna Arena, awal pagi tadi.
PEMAIN Atalanta Hans Hateboer (kanan) menjaringkan gol ketika menentang Cagliari di Stadium Sardegna Arena, awal pagi tadi.
Reuters

MILAN: Atalanta yang masih segar dengan kejayaan menewaskan Juventus dalam saingan Coppa Itali kini hanya satu mata dalam slot Liga Juara-Juara selepas menewaskan Cagliari dalam aksi Serie A, awal pagi tadi.

Hans Hateboer menanduk masuk hantaran Timothy Castagne lima minit selepas rehat membolehkan skuad berpangkalan di Bergamo itu yang tidak pernah layak ke Liga Juara-Juara meraih kemenangan kelima daripada enam perlawanan dalam semua kejohanan.

Tandukan Alessandro Deiola terkena palang pada minit akhir perlawanan. Kelab Sardinia itu terpaksa menamatkan perlawanan dengan 10 pemain apabila Cyril Thereau dikeluarkan selepas mengalami kecederaan dan pada masa sama Atalanta telah menggunakan tiga pemain gantian.

Atalanta yang mencalarkan rekod bersih Juventus musim ini apabila menang 3-0 pada Rabu lalu kini memiliki 35 mata sama dengan AS Roma dan Lazio. Hanya satu mata di belakang Milan yang menduduki slot terakhir Liga Juara-Juara.

Lazio menang 1-0 ke atas kelab bawahan menerusi pemain Ecuador Felipe Caicedo yang merembat kencang selepas mendapat hantaran Luis Alberto.

Sebelum itu Frosinone mendapat penalti selepas Camillo Ciano dikasari Bastos tetapi dibatalkan selepas dirujuk VAR (video bantuan pengadil).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Februari 2019 @ 7:46 AM