NEYMAR dikaitkan dengan perpindahan ke Barcelona. FOTO AFP
NEYMAR dikaitkan dengan perpindahan ke Barcelona. FOTO AFP
Agensi

BINTANG Paris Saint-Germain (PSG), Neymar dilaporkan bersedia untuk menerima pemotongan gaji sebanyak 50 peratus bagi membolehkannya kembali ke Barcelona.

Sensasi Brazil itu sering dikaitkan akan kembali ke Nou Camp meskipun yuran perpindahan bernilai £175 juta (RM939 juta) yang diminta PSG untuk pemain itu dilihat akan menjadi kekangan utama kepada Neymar.

Bagaimanapun, media Mundo Deportivo melaporkan Neymar begitu bersungguh-sungguh untuk kembali ke Barcelona dan bersedia untuk mengorbankan gajinya.

Neymar meraih £600,000 (RM3.2 juta) seminggu di PSG namun dia dilaporkan bersetuju untuk mengurangkan gajinya kepada £300,000 (RM1.6 juta) apabila kembali ke Barcelona.

Laporan itu selepas Neymar menjadi salah seorang pemain yang enggan memotong gajinya di PSG untuk membantu meringankan beban kelab berikutan pandemik Covid-19.

Pada November tahun lalu, dia yang muncul pemain termahal dunia dengan rekod perpindahan bernilai £198 juta (RM1.062 bilion) ketika menyertai PSG dari Barcelona pada 2017, menolak tawaran kontrak baharu bernilai £90 juta (RM482 juta) untuk kekal di Parc des Princes.

Kontrak sedia ada adalah sehingga 2022 dan tawaran kontrak baharu itu menyaksikan Neymar akan bersama PSG sehingga 2025, namun dia dilihat mahu kembali ke Barcelona.

Mundo Deportivo juga melaporkan PSG boleh menurunkan harga yang diminta kepada £132 juta (RM708 juta) selepas Neymar jelas tidak mahu kekal di PSG pada pintu perpindahan pemain.

Barcelona bersedia untuk membawa Neymar kembali tetapi kelab itu juga mahu menandatangani penyerang Inter Milan dan Argentina, Lautaro Martinez yang menyaksikan klausa pelepasannya sekitar £98 juta (RM525 juta).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2020 @ 8:33 AM