NEWCASTLE dikatakan mampu ikut jejak City, Chelsea dan Blackburn. FOTO AFP
NEWCASTLE dikatakan mampu ikut jejak City, Chelsea dan Blackburn. FOTO AFP
AFP

PENJUALAN Newcastle United kepada konsortium yang disokong oleh hartawan Arab Saudi hampir selesai dan ia bakal memberikan nafas baru buat The Magpies selepas bergelut tanpa pencapaian kepada kuasa baru Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pengambilalihan kelab di timur laut England itu oleh Dana Pelaburan Awam Arab Saudi (PIF) dikatakan bernilai £300 (RM1.6 bilion).

Sebelum ini tiga kelab sudah melalui fasa kemewahan sehingga mereka berjaya menjadi kuasa EPL dalam tempoh tertentu.

Manchester City misalnya diambil oleh Kumpulan Sheikh Mansour Abu Dhabi United dengan nilai 210 juta pound (RM1.1 bilion) pada September 2008, tatkala ketika itu pengurus kelab adalah Mark Hughes, manakala penyerang utama ialah Jo dari Brazil dan Stephen Ireland dikatakan sebagai tonggak masa depan The Citizens.

Selepas beberapa dekad dibayangi kehebatan United, City melakukan banyak perubahan dalam tempoh 12 tahun lalu.

Ia termasuk dengan pembelian bintang Brazil yang sangat mengejutkan, Robinho dan muncul juara Piala FA 2011.

City juga berjaya merampas kejuaraan liga daripada United di saat akhir hasil gol masa kecederaan oleh Sergio Aguero pada 2012.

Mereka tidak memandang ke belakang lagi apabila terus membawa masuk bintang seperti Kevin De Bruyne dan Raheem Sterling bagi memastikan mereka adalah pasukan yang harus ditewaskan tatkala berjaya menjulang kejuaraan liga 2014.

Pelantikan Pep Guardiola pada 2016 juga menyaksikan City mengorak langkah lebih jauh dengan muncul juara liga melalui rekod sensasi pada 2018.

Begitu juga dengan kehadiran Roman Abramovich di Chelsea yang berjaya menamatkan penguasaan Manchester United dan Arsenal.

Selepas berjaya membawa masuk Jose Mourinho pada 2004, Chelsea tidak menoleh ke belakang dengan meraih kejuaraan liga selepas menunggu selama 50 tahun.

Wang juga berjaya mengubah Blackburn Rovers dengan kali terakhir meraih trofi pada 1928 dengan muncul juara EPL pada 1995.

Blackburn juga berjaya menumpaskan United dalam perlumbaan untuk memburu penyerang Southampton ketika itu, Alan Shearer.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2020 @ 10:43 AM