Mun Yee (kanan) bersama seorang lagi atlet terjun negara, Nur Dhabita Sabri ketika Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Mun Yee (kanan) bersama seorang lagi atlet terjun negara, Nur Dhabita Sabri ketika Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Penerjun negara, Leong Mun Yee kagum dengan rakan atlet yang beragama Islam apabila dapat menjalani latihan dan pada masa sama berpuasa.

Katanya, dia pernah cuba untuk berpuasa dan sedar betapa letih kerana terpaksa menahan kelaparan sebelum tiba waktu berbuka.

"Saya pernah cuba sekali tahun lalu. Memang susah. Puasa dan berlatih pada masa sama memang sangat penat.

"Masa tiba waktu berbuka itu, saya rasa sangat lapar. Saya juga hampir kena gastrik sebab tak makan," katanya.

Atlet terjun negara, Leong Mun Yee.
Atlet terjun negara, Leong Mun Yee.

Mun Yee berkata, puasa dan berlatih bukan satu perkara mudah, justeru dia amat menghormati golongan atlet yang beragama Islam apabila dapat mengharungi cabaran di bulan Ramadan ini dengan berpuasa selama 30 hari.

Dalam perkembangan lain, atlet kelahiran Perak yang menerima suntikan vaksin Covid-19 dos pertama pada 1 Ramadan itu berkata, setakat ini dia tidak mengalami sebarang kesan sampingan.

"Saya jangka rasa sakit sikit. Tapi setakat ini semua okey saja. Tak ada rasa apa-apa.

"Latihan juga diteruskan seperti biasa. Selepas dapat vaksin ini saya rasa lega sedikit untuk ke mana-mana.

"Tambahan pula semua atlet terjun negara akan ke Tokyo untuk menyertai kejohanan Piala Dunia Mei nanti dan selepas dapat vaksin ini buatkan kami semua rasa lebih yakin untuk ke luar negara," katanya.

Kejohanan Terjun Piala Dunia 2021 yang akan berlangsung di Tokyo pada 1 hingga 6 Mei ini menjadi platform terakhir bagi barisan penerjun negara memburu tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Piala Dunia 2021 sebelum ini dijadualkan berlangsung di Tokyo pada 18 hingga 23 April itu bagaimanapun dibatalkan atas sebab keselamatan berikutan pandemik Covid-19.

Atlet terjun yang mengintai peluang untuk layak ke Olimpik pada kejohanan kali ini adalah Cheong Jun Hoong, Chew Yiwei dan Ooi Tze Liang manakala Pandelela Rinong, Leong Mun Yee, Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng Yan Yee yang sudah layak, turut menyertai kejohanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 April 2021 @ 6:02 PM