MOURINHO pasti menggunakan taktik memarkir bas di benteng pertahanan serta beberapa helah taktikal lain. FOTO REUTERS
MOURINHO pasti menggunakan taktik memarkir bas di benteng pertahanan serta beberapa helah taktikal lain. FOTO REUTERS
Reuters

PENGENDALI Spurs Jose Mourinho mahu menjadi pengurus pertama menamatkan rekod setahun tanpa kalah dimiliki Liverpool sepanjang Liga Perdana Inggeris musim ini dan perlawanan awal pagi Ahad ini akan menjadi lebih sengit berbanding kedudukan mereka di liga.

Perlawanan di Stadium Tottenham Hotspur itu akan menjadi yang pertama di antara anak buah Juergen Klopp dan skuad Mourinho sejak Manchester United memecat pengendali Portugal itu selepas tewas 1-3 di Anfield pada Disember 2018.

“Jangan pecat Mourinho,” ejek penyokong ketika kekalahan mengaibkan itu, justeru misi balas dendam di Utara London itu akan menjadi lebih manis.

Spurs agak mudah dibolosi dan ada yang menjangkakan Mourinho akan menggunakan taktik memarkir bas di benteng pertahanan serta beberapa helah taktikal lain.

“Cara Spurs bermain di bawah Mauricio Pochettino, anda boleh menjangkakan mereka untuk menyerang bermati-matian tetapi saya tidak melihat perkara itu berlaku di bawah Jose Mourinho,” tulis bekas penyerang Liverpool John Aldridge dalam kolum untuk akhbar Echo.

“Saya pasti mereka akan cuba menyerap tekanan dan membalasnya selepas separuh masa dengan Lucas Moura, Son (Heung-Min) dan Dele Alli.

“Mereka akan membenarkan kami menguasai bola dan cuba memecahkan benteng, tidak syak lagi begitulah cara Mourinho bermain kerana saya fikir beliau berasa terancam dengan Liverpool.”

Perlawanan itu pastinya satu kunjungan aneh buat Reds yang menewaskan Tottenham pada final Liga Juara-Juara dan mempunyai rekod hampir sempurna iaitu 58 mata daripada 60 mata musim ini untuk kelebihan 13 mata di puncak liga.

Mourinho yang menggantikan Pochettino yang dipecat Spurs pada November hanya dua kali menang ke atas Klopp dalam 10 pertemuan mereka sebelum ini.

Untuk melakukannya lagi Tottenham perlu menyahut cabaran tanpa kapten Harry Kane yang cedera.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 January 2020 @ 11:31 AM