ANCELOTTI (tengah) sempat berswafoto dengan peminat cilik di Goodison Park, malam ini. — FOTO Reuters
ANCELOTTI (tengah) sempat berswafoto dengan peminat cilik di Goodison Park, malam ini. — FOTO Reuters
AFP

EVERTON melantik Carlo Ancelotti sebagai pengurus baharu kelab itu hari ini, ketika warga Itali berpengalaman luas itu memegang jawatan di Goodison Park menerusi kontrak empat setengah tahun.

Ancelotti, 60, menghadiri perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Arsenal malam ini, namun tidak akan mengendalikan pasukan hinggalah kunjungan ke Burnley pada Hari Boxing.

Jurulatih yang memenangi tiga trofi Liga Juara-Juara itu dipecat oleh Napoli awal bulan ini namun hadir dengan rekod trofi bersama kelab ternama Eropah termasuk Juventus, AC Milan, Chelsea, Paris Saint-Germain, Real Madrid dan Bayern Munich.

Ketibaannya dianggap satu tindakan tepat Toffees, yang terdampar di tangga ke-16 Liga Perdana, hanya tiga mata di atas zon penyingkiran.

FERGUSON (kiri) bertindak baik sebagai pengurus sementara Everton. — FOTO Reuters
FERGUSON (kiri) bertindak baik sebagai pengurus sementara Everton. — FOTO Reuters

“Ini kelab hebat kaya dengan sejarah dan penyokong yang kuat,” kata Ancelotti dalam kenyataan kelab.

“Ada visi jelas daripada pemilik dan lembaga pengarah untuk meraih kejayaan dan trofi.

“Ia sesuatu yang mengujakan saya sebagai pengurus dan saya tidak sabar untuk bekerja dengan setiap orang di kelab ini dalam usaha menjadikan visi itu satu realiti.”

Pengurus sementara Duncan Ferguson, yang mengemudi pasukan menentang Arsenal, akan menjadi sebahagian daripada staf kejurulatihan Ancelotti selepas memukau dengan menewaskan Chelsea dan seri di Manchester United dalam dua aksi terakhir liga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Disember 2019 @ 10:01 PM