LIONEL MESSI
LIONEL MESSI
Reuters

MADRID: Lionel Messi meledak gol ketujuh daripada empat aksi La Liga apabila juara bertahan, Barcelona terpaksa berusaha keras sebelum menewaskan Getafe 2-1, awal pagi tadi, sekaligus berada di puncak liga dengan kelebihan lima mata.

Messi, penjaring terbanyak La Liga pada musim ini, memulakan tahun 2019 dengan menjaringkan gol ke-16 musim ini, apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-20, untuk memberikan kelebihan awal kepada Barca.

Ia membolehkan bintang Argentina itu mengumpul keseluruhan 399 gol dalam kariernya di La Liga, sebelum penyerang Uruguay, Luis Suarez menambah satu lagi jaringan untuk Barca pada minit ke-39, menerusi jaringan cantik dari luar kawasan penalti.

Getafe bagaimanapun kembali bangkit merapatkan jurang, dua minit sebelum waktu rehat menerusi jaringan Jaime Mata.

Barca yang memenangi tujuh daripada 10 gelaran La Liga, kini mendahului saingan dengan 40 mata selepas 18 perlawanan. 

Mereka kini menjarakkan kedudukan dengan lima mata di depan pesaing di tempat kedua, Atletico Madrid yang mencatatkan seri 1-1 bertemu pasukan di tempat ketiga, Sevilla.

Barca juga kini berada 10 mata di depan juara Eropah, Real Madrid yang bergelut dengan kekalahan 0-2 di laman sendiri kepada Real Sociedad. 

“Kami sedar betapa pentingnya keputusan perlawanan ini sebelum memasuki padang. Kami terdesak untuk mencipta lebih banyak peluang dan kami terpaksa melakukannya dengan cara yang sukar,” kata jurulatih Barca, Ernesto Valverde.

“Kami sudah jangka ia akan menjadi perlawanan yang sukar dan ia memang betul. Mereka dapat kembali rentak permainan menerusi jaringan, tetapi kami sangat gembira apabila menamatkankan saingan dengan berjaya meraih tiga mata.”  

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 9:24 AM