GELAGAT Tuchel ketika sidang akhbar di   Santiago Bernabeu. - FOTO EPA
GELAGAT Tuchel ketika sidang akhbar di Santiago Bernabeu. - FOTO EPA
Reuters

PENGURUS Paris St Germain, Thomas Tuchel menggesa Zinedine Zidane berhenti daripada cuba ‘memikat’ penyerang, Kylian Mbappe selepas jurulatih Real Madrid menyatakan kekagumannya terhadap pemain Perancis itu menjelang pertembungan kedua-dua pasukan dalam aksi Liga Juara-Juara, awal pagi esok.

Mbappe salah seorang tonggak kejayaan Perancis pada Piala Dunia 2018 menjalani ujian ketika remaja di Real Madrid dan hampir menandatangani kontrak dari AS Monaco pada 2017 sebelum akhirnya berpindah ke PSG.

Real masih belum menemui pengganti sehebat Cristiano Ronaldo yang berpindah ke Juventus pada 2018 dan Zidane tidak menyembunyikan hasrat untuk memililki Mabppe.

"Saya sudah lama mengenalinya sejak dia menjalani ujian bersama kami dan saya mengaguminya sejak itu,” kata Zidane ketika sidang akhbar awal pagi tadi.

"Dia datang ke mari sebagai pemain lawan dan kami perlu bersedia.”

Mbappe bergelut kecederaan musim ini tetapi menjadi prolifik ketika beraksi dengan lapan gol dan Tuchel berkata, penyerang itu adalah aset sekarang dan masa depan PSG sekali gus petanda dia tidak akan meninggalkan Paris.

"Kadang-kadang pemain paling anda sukai adalah pemain paling susah anda dapat dan anda tidak bernasib baik Zidane kerana dia pemain kami walaupun dia mempunyai ramai pemain yang mahukan Mbappe bersama mereka,” kata Tuchel.

"Saya tak tahu sejauh mana sayangnya Zidane terhadap Mbappe tetapi dia pemain paling penting bagi kami dan kami gembira dia milik kami.”

PSG mengetuai Kumpulan A dengan 12 mata daripada empat perlawanan dan telah pun mengesahkan tempat ke saingan kalah mati Liga Juara-Juara.

Menang atau seri ketika menentang Real yang menduduki tangga kedua dengan tujuh mata bakal meletakkan mereka di puncak kumpulan dan menjadi pilihan untuk undian 16 terakhir.

Gergasi Perancis itu membelasah Real 3-0 di Paris pada September lalu dalam perlawanan tanpa Mbappe, Neymar dan Edinson Cavani tetapi trio PSG itu kembali beraksi di Bernabeu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 November 2019 @ 8:20 AM