MOURINHO mempunyai aura dan karisma untuk mengemudi kejayaan Spurs. — FOTO Reuters
MOURINHO mempunyai aura dan karisma untuk mengemudi kejayaan Spurs. — FOTO Reuters
AFP

TOTTENHAM mengalih tumpuan kepada Jose Mourinho untuk cuba mengekalkan status mereka sebagai kelab Liga Juara-Juara, namun permulaan teruk musim Liga Perdana Inggeris menyebabkan pengendali dari Portugal itu berdepan tugas getir bagi kempen domestik mahupun Eropah.

Pelantikan Mourinho tidak begitu disenangi penyokong tegar Spurs memandangkan beliau pernah dua kali menjadi pengurus Chelsea.

Beliau bagaimanapun berjaya membantu kemenangan pertama Tottenham di laman lawan dalam Liga Perdana sejak Januari lalu dengan kemenangan 3-2 di West Ham Sabtu lalu.

Tiga mata penting itu membolehkan anak buah Mourinho merapatkan jurang dengan kelompok empat teratas kepada sembilan mata, namun permulaan cemerlang Liverpool, Leicester, Manchester City dan Chelsea bermakna satu daripada empat kelab itu perlu merudum teruk dalam beberapa bulan akan datang untuk membuka pintu buat Spurs.

KEMARAAN Tottenham ke final Liga Juara-Juara musim lalu mengejutkan ramai. — FOTO Agensi
KEMARAAN Tottenham ke final Liga Juara-Juara musim lalu mengejutkan ramai. — FOTO Agensi

Hakikat perjanjian Mourinho yang ditandatangani minggu lalu dilaporkan mengandungi bonus £2 juta (RM10.7 juta) jika berjaya menghuni kelompok empat teratas membayangkan betapa sukarnya tugas itu.

Adakah memenangi Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam sejarah kelab sebenarnya cara terbaik Spurs untuk kekal bersaing dalam pertandingan terkaya dan berprestij Eropah buat musim kelima berturut-turut?

Di bawah kendalian Mauricio Pochettino, yang dipecat minggu lalu selepas lima setengah tahun, Tottenham meningkat saban tahun di Eropah dan musim lalu hanya gagal satu halangan selepas kemaraan dramatik ke final Liga Juara-Juara.

Di sebalik prestasi hambar domestik dan dibelasah 7-2 oleh Bayern Munich di laman sendiri bulan lalu, Pochettino meninggalkan pasukan yang semakin hampir layak ke pusingan 16 terakhir sekali lagi.

SPURS mensia-siakan pendahuluan dua gol menentang Olympiakos September lalu. — FOTO Getty Images
SPURS mensia-siakan pendahuluan dua gol menentang Olympiakos September lalu. — FOTO Getty Images

Kemenangan ke atas Olympiakos pada penampilan sulung Mourinho di laman sendiri awal pagi Rabu ini akan memastikan mereka tempat ke peringkat kalah mati.

“Saya fikir kami boleh menang perlawanan itu di laman sendiri dan layak ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara,” kata Mourinho, yang mempunyai rekod membanggakan layak dari peringkat kumpulan Liga Juara-Juara bersama FC Porto, Chelsea, Inter Milan, Real Madrid dan Manchester United.

Spurs yang mendapat nafas baru mungkin boleh mencetus masalah buat pasukan ternama Eropah tahun depan seperti yang mereka buktikan ketika mengejutkan Manchester City dan Ajax dalam laluan ke final musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 November 2019 @ 1:12 PM