SEBAHAGIAN penyokong Kedah yang menyaksikan final Piala Malaysia di Bukit Jalil.
SEBAHAGIAN penyokong Kedah yang menyaksikan final Piala Malaysia di Bukit Jalil.
Izzali Ismail


KELAB Penyokong Bolasepak Kedah Darul Aman (KEPDA) mahu pihak Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) melakukan perancangan lebih awal memilih pemain terbaik bagi mengisi barisan skuad Lang Merah musim hadapan.

Malah skuad Lang Merah yang disahkan lulus lesen Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) juga perlu lebih mantap kerana bakal memulakan saingan di pentas Liga Juara-Juara AFC (ACL) awal tahun hadapan.

Presiden kelab, Nor Asmadi Hamzah berkata, pemilihan pemain lebih awal memberi ruang kepada ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak mendapatkan pemain berkualiti dan berwibawa seperti dirancang.

"Kita tahu keupayaan Aidil Sharin yang sudah nampak segala aspek kelemahan dan kekurangan pasukan musim ini dan pastinya beliau sudah menyediakan senarai skuad mantap yang dirancang kepada pihak pengurusan."

"Tidak seperti musim lalu di mana Aidil terpaksa menunggu lebih lama untuk hadir bersama KFA kerana masih terikat dengan kontrak pasukan lamanya iaitu Home United, namun pada tahun ini kami yakin segala perancangan sudah dalam genggaman Aidil."

"Jadi kami selaku kelab penyokong, berharap segala perancangan awal dilakukan Aidil musim ini akan berjalan lancar dalam usaha memantapkan skuad impian 2020," katanya.

Di samping itu pihak KEPDA yang bernaung di bawah Gabungan Ukhwah Lang Merah (GULM) menyeru penyokong agar tidak terbawa-bawa dengan gosip liar berkaitan pemain baharu skuad Lang Merah musim hadapan.

“Kami berharap penyokong Kedah bijak menilai berita dalam media sosial dan tidak terpengaruh dengan berita kurang tepat dan jalan terbaik adalah mengikuti laman rasmi Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dari masa ke semasa." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 November 2019 @ 5:31 PM