GHADDAR (kiri) diasak pemain dua UKM FC di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.  - FOTO Mohd Azren Jamaludin
GHADDAR (kiri) diasak pemain dua UKM FC di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang. - FOTO Mohd Azren Jamaludin
Rizar Mohd Noor


PENGENDALI Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Ervin Boban mengakui kesilapan mengeluarkan Mohamad Ghaddar pada aksi babak kedua saingan final pertama Piala Cabaran di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), semalam.

Beliau berkata, tindakannya mengeluarkan Ghaddar kerana mahu menguatkan lagi jentera tengah dengan memasukkan Amirul Hadi Zainal dan tidak sangka pula Rozaimi Abd Rahman yang sepatutnya dikeluarkan kerana pemain itu mengalami kecederaan.

"Mungkin ramai melihat seperti saya dan Ghaddar bertengkar. Sebaliknya Ghaddar beritahu saya Rozaimi yang tidak dapat meneruskan perlawanan dan beliau mahu terus bermain dan langsung tiada pertengkaran.

"Ketika saya mahu membuat keputusan menukar pemain, saya tidak melihat Rozaimi sedang bergelut di padang dan tidak beraksi dengan baik. Saya tahu Ghaddar mahu terus bermain dan sudah tentu kecewa apabila dikeluarkan. Saya akui buat kesilapan," katanya.

Mengulas mengenai kemenangan 1-0 JDT II pada aksi final pertama, Boban menepis tanggapan betapa keputusan itu tidak memberangsangkan buat skuad bimbingannya sebaliknyamenegaskan tidak kira menang dengan satu gol atau lebih, ia tetap bermakna buat skuad Merah Biru.

Sementara itu, penolong jurulatih UKM FC, Juzaili Samion menegaskan pasukannya sudah memberikan yang terbaik namun hilang konsenstrasi menjadi punca JDT II menjaringkan gol.

Beliau yang ditugaskan mengemudi pasukan tatkala ketua jurulatih, Sulaiman Hussain kini berada di Jepun bagi mengikuti kursus kejurulatihan tetap bangga dengan persembahan barisan pemainnya yang berjaya mengimbangi kekuatan skuad Merah Biru.

Katanya, bukan mudah beraksi di Pasir Gudang tapi pemain yang diturunkan mengikut arahan taktikal dan membentuk kombinasi mantap di posisi tengah dan pertahanan sehingga sukar pemain JDT II mendominasi keseluruhan permainan.

"Sepanjang 45 minit babak pertama, kami boleh kawal permainan dan cipta beberapa peluang menjaringkan gol tapi memasuki babak kedua akibat hilang konsentrasi dan melakukan kesilapan mudah maka JDT II ambil kesempatan menghukum kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Oktober 2019 @ 5:14 PM