ZII Jia akan bertemu Momota di suku akhir Seluruh England. -FOTO Badminton Photo
ZII Jia akan bertemu Momota di suku akhir Seluruh England. -FOTO Badminton Photo
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pertarungan membabitkan kategori perseorangan dalam kejohanan Seluruh England pada malam ini pastinya menarik perhatian peminat badminton negara kerana menyaksikan Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia akan membuat perhitungan dengan bintang Jepun, Kento Momota bagi menentukan siapa layak ke pusingan separuh akhir.

Sebelum ini, Zii Jia mengesahkan tiket ke suku akhir apabila menundukkan Brian Yang dari Kanada 26-24, 21-11 manakala Momota menang ke atas pemain Korea Selatan, Heo Kwanghee 21-16, 21-12 dalam aksi pusingan kedua yang berlangsung di Utilita Arena Birmingham.

Pertemuan Zii Jia dengan Momota adalah aksi ulangan edisi 2021 yang menyaksikan jaguh negara itu melakar kemenangan 21-16, 21-19 ke atas juara dunia dua kali berkenaan dalam laluan bergelar juara buat kali pertama tahun lalu.

Menurut Zii Jia, perlawanan malam ini boleh dikatakan agak sukar walaupun pertemuan pada perlawanan Seluruh England musim lalu memihak kepada pemain berkenaan.

"Sudah pasti ia akan menjadi perlawanan yang sukar untuk saya (bertemu Momota). Saya cuba untuk tidak terlalu memikirkan mengenai apa yang berlaku tahun lalu (menang ke atas Momota).

"Sebaliknya saya hanya menikmati setiap perlawanan yang saya harungi dan diharapkan saya boleh mempamerkan prestasi terbaik saya dalam pertemuan dengan Momota," katanya.

Mengikut rekod, pertemuan terakhir kedua-dua pemain ketika saingan Piala Thomas di Denmark pada Oktober tahun lalu menyaksikan Momota menang 15-21, 21-12, 23-21.

Sementara itu, beregu campuran profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turut melangkah ke suku akhir selepas mengatasi pasangan Thailand, Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran 21-19, 21-17.

Mereka akan berdepan pilihan kedua kejohanan dari China, Zheng Siwei-Huang Ya Qiong bagi perebutan tempat ke separuh akhir.

Nasib bagaimanapun tidak menyebelahi empat lagi wakil negara yang turun beraksi, awal pagi tadi apabila terkandas di pusingan kedua selepas tewas di tangan lawan masing-masing.

Mereka ialah perseorangan lelaki, Liew Daren; beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan dua beregu campuran, Ong Yew Sin-Goh Liu Ying serta Hoo Pang Ron Cheah Yee See.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2022 @ 1:51 PM