Hamidin (kanan) berbincang bersama Tun Dr Mahathir. FOTO Ihsan FAM.
Hamidin (kanan) berbincang bersama Tun Dr Mahathir. FOTO Ihsan FAM.
Syazwan Msar


PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) serius dalam memastikan sukan nombor satu negara itu terus berada di landasan yang betul selain mampu mencapai matlamat ditetapkan apabila mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membincangkan beberapa perkara berkaitan, hari ini.

Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin menerusi kenyataannya di laman sosial Facebook FAM berkata, pembentangan terbabit juga antara platform yang digunakan badan induk berkenaan untuk membentangkan pelan hala tuju jangka panjang badan induk berkenaan yang terkandung dalam F:30.

Malah, pertemuan terbabit turut membincangkan mengenai pembinaan ibu pejabat baharu FAM dan pusat latihan kebangsaan di Presint 5, Putrajaya.

“Pada masa sama, FAM turut mengemas kini maklumat kepada Dr Mahathir berkaitan perjanjian persefahaman (MoU) di antara badan induk berkenaan dan Persatuan Bolasepak Jepun (JFA) yang ditandatangani 5 April lalu.

“Terima kasih diucapkan kepada Perdana Menteri kerana memberi ruang berkongsi visi dan misi FAM serta perancangan membina ibu pejabat baharu dan pusat latihan kebangsaan yang dilengkapi tiga padang latihan termasuk satu dalam dewan,” katanya.

Selain itu, Hamidin juga mempelawa wakil pejabat Perdana Menteri untuk menyertai rombongan FAM ke Jepun pada tarikh yang akan ditetapkan nanti.

Dalam perkembangan lain, Hamidin berkata, FAM ketika ini berada pada peringkat akhir rundingan dengan pemaju untuk membangunkan ibu pejabat baharu di Presint 5.

Bangunan asal FAM di Jalan Birch (sekarang Jalan Maharajalela) dibina setinggi enam tingkat dengan kos RM317,000 dan dirasmikan pada Disember 1961 sebelum badan induk bola sepak kebangsaan berpindah ke pejabat sedia ada di Wisma FAM di Kelana Jaya bernilai RM1.85 juta pada 1979.

Bulan lalu, Hamidi membawa Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) Gianni Infantino dan Presiden Persatuan Bolasepak Jepun (JFA), Kohzo Tashima, untuk melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri sebelum menandatangani MoU dengan Tashima di Bangunan Perdana Putra.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 8:24 PM