Salah (kiri) menjaringkan gol buat Liverpool. FOTO Agensi
Salah (kiri) menjaringkan gol buat Liverpool. FOTO Agensi
Reuters

JUARA Eropah, Liverpool memulakan kempen baharu Liga Perdana musim ini dengan penuh bergaya menewaskan pasukan yang baru dinaikkan pangkat ke liga utama, Norwich City, 4-1 di Anfield, pagi ini.

Liverpool, yang menamatkan aksi musim lalu dengan perbezaan satu mata di belakang juara Manchester City, mendahului seawal minit ke-tujuh apabila cubaan kapten Norwich, Grant Hanley untuk mengeluarkan bola dari hantaran rendah sudut kiri oleh Divock Origi menyebabkan dia tertolak masuk ke gawang sendiri.

Mo Salah menggandakan jaringan pada minit ke-19 menerusi rembatan kaki kiri dari sudut sukar selepas menerima hantaran Roberto Firmino dan Virgil van Dijk menerima hantaran Salah menambah jaringan pada minit ke-28 untuk menjadikan kedudukan 3-0.

Liverpool menerima tamparan hebat selepas penjaga gol, Alisson Becker kelihatan mengalami kecederaan betis sehingga terpaksa dikeluarkan pada minit ke-39 dan digantikan penjaga gol Sepanyol, Adrian thrust untuk penampilan pertama bersama Reds.

Origi menjadikan kedudukan 4-0 tiga minit selepas waktu rehat perlawanan, menerusi tandukan susulan hantaran lintang pemain sayap kanan, Trent Alexander-Arnold.

Kesungguhan Norwich untuk menghasilkan gol berhasil menerusi penyudah penyerang Finland, Teemu Pukki yang menjaringkan gol saguhati pada minit ke-64 selepas menerima hantaran menarik Emiliano Buendia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Ogos 2019 @ 7:35 AM