Saiful Affendy Sapran


APAKAH sebenarnya masa depan Hafizh Syahrin Abdullah selepas ini berikutan kontraknya tidak disambung oleh Red Bull KTM Tech 3?

Itu persoalan yang berlegar ketika ini membabitkan pelumba MotoGP negara itu selepas pasukannya mengumumkan akan menggunakan khidmat juara Moto3 musim 2016, Brad Binder untuk pada depan.

Pelumba Afrika Selatan itu yang kini beraksi dalam saingan Moto2 bersama Red Bull KTM Ajo, akan bergandingan dengan rakan sepasukan Hafizh ketika ini, Miguel Oliveira pada musim depan.

Banyak khabar angin menyatakan bahawa Hafizh kemungkinan besar akan kembali beraksi di saingan Moto2 musim depan namun pasukan yang bakal diwakilinya masih belum dapat disahkan.

Usaha untuk mendapatkan komen Hafizh gagal namun bapanya, Abdullah Harun berkata, dia menyerahkan segala keputusan di tangan Hafizh sendiri.

"Saya tak ada hak untuk memutuskan masa depannya tetapi saya akui ambil berat karier Hafizh.

Sama ada beraksi di Moto2 atau MotoGP ia adalah sama cuma tahapnya agak berbeza.

"Memang ada khabar angin pasukan Moto2 hendak dapatkan khidmatnya tetapi setakat ini itu saja yang boleh saya katakan," katanya ketika ditemui semalam.

Jelas Abdullah, Hafizh ada memberitahunya untuk beraksi di kejohanan lain tetapi beliau tidak begitu bersetuju.

"Saya beritahu dia untuk apa pergi ke kejohanan lain sedangkan dia masih mampu lagi beraksi di Kejohanan Dunia.

"Sebab apabila seseorang pelumba itu meninggakan kejohanan dunia untuk tempoh semusim sekalipun, sukar untuknya mendapatkan rentak semula jika dapat beraksi semula," katanya.

Sementara itu, Abdullah turut meluahkan sedikit kekecewaan berikutan keputusan KTM yang tidak menyambung kontrak Hafizh.

Bukan cuba untuk memenangi anaknya, namun Abdullah berasakan prestasi Hafizh yang agak hambar ketika ini adalah kerana jentera KTM yang tidak mantap.

"Lihat bagaimana Johann Zarco (Red Bull KTM Factory Racing) juga bergelut dengan prestasi jentera.

"Saya akui dia memang lebih bagus daripada Hafizh tetapi sejak beraksi bersama KTM prestasinya hampir sama atau pun kadangkala Hafizh lebih baik daripadanya," katanya.

Selepas sembilan pusingan, Hafizh kini baru mengumpul tiga mata.

Binder ganti Hafizh tunggang KTM Tech 3

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2019 @ 6:16 PM
Kontrak Hafizh bersama KTM tidak disambung. FOTO fail KTM
Kontrak Hafizh bersama KTM tidak disambung. FOTO fail KTM
Abdullah serah kepada anaknya buat keputusan. FOTO Saiful Affendy Sapran
Abdullah serah kepada anaknya buat keputusan. FOTO Saiful Affendy Sapran